Selasa, 7 Ogos 2012

Tazkirah 5 : Kegembiraan orang yang berpuasa


Pendahuluan :

Hadith Nabi SAW :
-من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه -
Ertinya : Barang siapa yang berpuasa (ramadhan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha dari pada Allah swt, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

-       Orang yang diterima puasanya ialah orang yang menunaikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha Allah swt (ikhlas). Ini merupakan pra syarat sesuatu amal ibadah.

-       Amal yang diterima akan melahirkan kegembiraan.

Kegembiraan orang yang berpuasa

Hadith riwayat Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW bersabda  :
-للصائم فرحتان : فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه-
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi)

Kegembiraan ketika berbuka

Berkata Imam al-Qurtubi : yang dimaksudkan kegembiraan ketika berbuka itu ialah disebabkan terputusnya kelaparan dan dahaga. Secara tabiatnya manusia yang sedang kelaparan dan dahaga akan terasa gembira apabila mendapat makanan atau minuman.

Ada pula yang menyatakan : kegembiraan ketika berbuka ialah disebabkan seseorang itu telah sempurna menunaikan kewajipan yang difardhukan Allah dan telah Berjaya mentaati perintah Allah.

Justeru, segerakan berbuka kerana itu juga merupakan sunnah yang menzahirkan ketaatan dan kegembiraan kita kepada perintah dan suruhan Allah swt. Nabi SAW bersabda : لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر – hadith riwayat Bukhari Muslim.  Imam al-Nawawi menyatakan, dari saidina Abu Hurairah r.a berkata, disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Melambatkan berbuka adalah makruh dan ianya menyamai perbuatan ahli kitab Yahudi dan Nasrani. – sohih Muslim

Kegembiraan ketika bertemu dengan Allah

Bertemu yang dimaksudkan ialah bertemu disyurga.

Allah swt mengkhususkan syurga bagi orang yang berpuasa yang bernama al-Rayyan. Hadith Nabi SAW :  أن في الجنة بابا يقال له الريان يدخل منه الصائمون يوم القيامة – riwayat Bukhari Muslim.

Firman Allah SWT dalam surah al-Haaqqah ayat 24 : ertinya : makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang kamu lakukan pada hari –hari yang lalu (di dunia). Imam al-Mujahid mentafsirkan ayat ini merujuk kepada amalan berpuasa.- kitab لطائف معارف

Kegembiraan kerana akan mendapat syafaat

Ibadah Puasa yang diterima akan menanti kita  di akhirat untuk memberi syafaat
Hadith Nabi SAW : الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة

Kegembiraan kerana ibadah tersebut mampu menjadi penebus / kaffarah dosa.

Hadith Nabi SAW : فتنة الرجل في أهله وماله وولده وجاره تكفرها الصلاة والصوم والصدقة – riwayat Bukhari dalam Mukhtasar.

Khamis, 2 Ogos 2012

Tazkirah 4 : JAGA PUASA KITA !!!




Hadith Nabi SAW :

" كم من صائم ليس من صيامه إلا الجوع والعطش"
ERTINYA : berapa ramai dikalangan orang yang berpuasa tetapi tidaklah dia berpuasa melainkan hanya mendapat lapar dan dahaga (tidak mendapat pahala puasa)

Ramai orang yang berpuasa, tetapi puasanya tidak diterima oleh Allah SWT. Justeru, kita perlulah memelihara ibadah kita agar ianya  benar-benar sempurna dan diterima oleh Allah SWT.

PUASA YANG DITERIMA ALLAH
Puasa bukan sekadar menahan makan dan minum serta nafsu syahwat. Tetapi puasa yang diterima oleh Allah SWT itu mestilah menjaga dan memelihara 6 perkara berikut : 

1.    Menjaga pandangan mata

Hadith Nabi SAW :  النظرة سهم مسموم من سهام ابليس ertinya : Pandangan (mata) itu merupakan anak panah yang beracun daripada panahan Iblis.

Justeru, untuk memastikan puasa kita diterima oleh Allah swt, kita turut diperintahkan menjaga pandangan mata kita dari melihat perkara yang maksiat dan yang tidak baik.

2.    Menjaga lidah dan percakapan

Hadith Nabi SAW : اذا اصبح صائم فلا يرفث ولا يجهل ertinya : apabila berpuasa seseorang itu, maka janganlah ia berkata perkara-perkara yang keji dan perkara-perkara yang tidak baik.

Kita hendaklah menjaga lidah dan percakapan daripada mengumpat, mengata, dan mengeji. Zaman moden ini, ramai yang berkata-kata melalui alam maya seperti FB, Twitter, Blog dan lain-lain. Maka, ianya termasuk dalam kategori yang perlu juga dijaga agar kata-kata yang kita coretkan tidak membawa kepada maksiat dan dosa serta menyakitkan hati orang lain.

3.    Menjaga telinga dan pendengaran

Setiap yang haram untuk dipertuturkan, maka secara umumnya perkara itu juga haram untuk kita dengar. Justeru jagalah pendengaran kita dari mendengar yang maksiat dan sebaliknya kita memperbanyakkan mendengar alunan ayat-ayat al-Quran, qasidah, nasyid atau pun ceramah-ceramah agama yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

4.    Menjaga anggota badan (tangan dan kaki dari perkara yang haram)

Tangan dan kaki hendaklah digunapakai untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Banyakkan memegang al-Quran, melangkah ke masjid dan surau. Elakkan dari pergi ke tempat-tempat hiburan dan tempat yang melalaikan.

5.    Tidak memenuhkan perut ketika berbuka dengan makanan 

Perbuatan tersebut seolah-olah melepaskan geram nafsu dan ianya dibenci oleh Allah. Sewajarnya perut itu dibahagi kepada 3 bahagian : 1/3 untuk udara, 1/3 untuk air, 1/3 untuk makanan.

Perut yang terpenuhi dengan makanan akan menyebabkan kita malas untuk beribadah. Berpada-padalah ketika makan

6.    Berbuka dengan mendatang sifat khauf dan raja’. 

Khauf itu ertinya takut. Raja’ itu ertinya pengharapan.

Ketika berbuka puasa, kita hendaklah memperbanyakkan doa (pengharapan) agar ibadah puasa kita diterima oleh Allah SWT. Orang yang beriman sentiasa bimbang dan takut sekiranya amal yang dilakukan tidak diterima oleh Allah SWT.

Pesan Ustazah : Buat anak-anak murid kesayangan, jagalah puasa anda semua agar ianya benar-benar dianggap sebagai ibadah. Walaupun ustazah sedih dan dukacita apabila  tahu ada anak-anak murid ustazah yang telah ponteng puasa, namun ingatlah, Allah itu maha menerima taubat. Kamu belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan. Kita masih ada beberapa hari lagi dalam bulan Ramadhan, bertaubat dan puasalah sungguh-sungguh, moga-moga kamu semua jadi anak-anak soleh permata Islam yang berharga suatu hari nanti...

Salam Ramadhan, Salam Nuzhul al-Quran, Salam Perjuangan, Salam Ibadah ... 

Jumaat, 27 Julai 2012

Tazkirah 3 (Jumaat) : Tahu & Amal



Hari Jumaat + Ramadhan + Selawat ke atas Baginda Nabi SAW = ?
 
1) Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata : 


"Barangsiapa yang bersalawat ke atasku 1kali salawat, maka Allah akan bersalawat ke atasnya 10kali salawat (menganugerahkan kepadanya dengan 10 kebaikan)." - Riwayat Imam Muslim رحمه الله.


2) Jumaat penghulu hari. Kebaikan yang dilakukan pada hari ini berganda. Ditambah jika bersalawat pada hari Jumaat, maka salawat & salam itu akan dijawab oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم secara langsung tanpa perantaraan malaikat.


3) Jumaat ini pula jatuh di dalam bulan Ramadhan, bulan mulia bulan berlipat ganda pahalanya, 

1 selawat = 10 kebaikan  = Ramadhan ( 1 Amalan Sunat = 1 Amalan Fardhu / 1 Amalan Fardhu = 70 Amalan Fardhu)  + + + lagi ganda pahala dan ganjarannya


Kesimpulannya :
 
Apabila sudah tahu, AMAL adalah tindakan yang paling bijak.



اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Walaupun tidak nampak nilaian pahalanya, tetapi pasti akan nampak kebaikan dan perubahan pada jiwa rohani dan amal jasmaninya nanti INSYAALLAH.

Rabu, 25 Julai 2012

Tazkirah 2 : Hikmah Disuruh Berpuasa Ramadhan

Sabda Nabi Saw :

"اَلصـِّيــــــَامُ الجُــــــنَّةُ"
Ertinya : Puasa Itu Ialah Perisai
 
Daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.


Antara Hikmah Berpuasa :

1- Allah SWT hendak mengangkat darjat kita kepada orang Mukmin yang Muttaqin (BERTAQWA) seperti firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 183. Manakala cirri-ciri orang berTAQWA itu pula seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali kwh :
  • Takut kepada Allah
  • Beramal dengan apa yang diturunkan / diperintahkan
  • Redha dengan yang sedikit (BERSYUKUR)
  • Bersedia untuk hari kematian dan kebangkitan

2- Untuk melahirkan Insan yang BERSYUKUR dengan nikmat kurniaan Allah. Manusia bila ditarik nikmat baru dia tahu bagaimana hendak menghargai nikmat. Dah sakit baru kita tahu nikmatnya sihat. Bila dalam kelaparan dan tiada makanan baru kita tahu hargai Rezeki. Justeru, puasa mengajar kita berSYUKUR. Jangan banyak membazir waktu berbuka puasa dengan banyaknya makanan. Membazir itu amalan Syaitan!

3-Untuk menahan dan mengawal hawa nafsu kita. Bila perut kelaparan, nafsunya akan terkawal dan berkurangan. Justeru kita boleh tumpu pada ibadah dan ketaatan serta akan kurang / meninggalkan maksiat.

4- Puasa mengajar kita menguatkan azam dan tekad. Kita belajar kesabaran, belajar menguatkan minda dan fikiran. Sebagai contoh : “Bila puasa kita niat, bila kita niat kita puasa, bila kita puasa kita tidak merokok, bila kita buka puasa kita merokok, walaupun rokok itu HARAM, tapi paling tidak kita sudah kurangkan hisap rokok dalam bulan Ramadhan”. Apa kata kalau yang merokok bertekad dan berazam terus berhenti merokok. Ambil keberkatan dan azam dalam bulan Ramadhan. Banyak lagi perkara lain yang tidak baik kita boleh tinggalkan dengan sebab mempelajari azam dan tekad serta semangat dari bulan Ramadhan. Apa yang penting, kesungguhan dan niat yang tulus suci dan Ikhlas.

5- Belajar membina akhlak yang terpuji. Bila puasa kita tidak mengumpat, tidak banyak membazir makan dan minum, dan banyak lagi perbuatan yang tidak baik kita tinggalkan. Bila puasa, selalunya kita tukar-tukar juadah berbuka dengan jiran, bila puasa kita jadi pemurah dan suka bersedekah, dan bila puasa kita akan cakap yang baik-baik sahaja serta banyak menahan sifat kemarahan. Maka ini semua merupakan hikmah yang membentuk peribadi dan akhlak terpuji dari bulan Ramadhan.


Pesan Ustazah : Semoga anak-anak murid kesayang semua dapat menghayati hikmah dan kelebihan daripada bulan Ramadhan. Ingat, Ramadhan datang hanya setahun sekali. Mungkin ini Ramadhan terakhir buat diri kita, siapa tahu? Jadi bersungguh-sungguhlah kita rebutkan peluang dan ruang yang Allah swt berikan ini untuk kita memperbaiki diri dan amal ibadah Moga-moga Allah swt memberi kita kerahmatan, keampunan dan hidayah taufiqNya pada kita semua. Akhirnya, dah berapa Juzuk al-Quran anak-anak murid kesayangan baca??? Jangan lupa baca al-Quran, kalau boleh dapatkan khatam sekali dalam bulan Ramadhan.


Salam IBADAH & Selamat BERPUASA!!!

Selasa, 24 Julai 2012

Tazkirah 1 : Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!!!

2607.JPG

Salman r.a meriwayatkan, bahwa Rasulullah SAW menyampaikan ceramahnya pada kami di hari terakhir bulan Sya’ban :

“Wahai para manusia sekalian, telah menyelimuti kalian bulan Agung yang penuh keberkatan, bulan yang padanya suatu malam yang lebih mulia dari seribu bulan, Allah menjadikan puasa di bulan ini merupakan hal yang fardhu (wajib), dan menjadikan Qiyam (tarawih) merupakan hal yang sunnah, barangsiapa yang beribadah dengan satu macam kebaikan maka sama saja pahalanya dengan menjalankan ibadah yang fardhu, barangsiapa yang beribadah dengan hal yang fardhu maka seakan ia telah mengerjakan 70X hal fardhu tersebut, inilah (Ramadhan) merupakan bulan kesabaran, dan balasan atas kesabaran adalah Syurga, inilah bulan kita saling membantu satu sama lain, inilah bulan dimana Allah menumpahkan rezekiNya bagi orang mukmin”
 
(Hadits riwayat Imam Ibn Khuzaimah dalam shahih nya).

Pengajaran dari hadith 

“KEISTIMEWAAN RAMADHAN” :

1. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang termulia dan terbaik dari semua bulan. Bulan Ramadhan juga merupakan penghulu segala bulan. 

2.   Bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang telah Allah SWT WAJIBkan berpuasa ke atas umat Islam.

3.   Puasa bulan Ramadhan telah diFARDHUkan / diWAJIBkan ke atas umat Islam pada tahun ke-2 Hijrah dengan turunnya ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 183.

4.  Dalam bulan Ramadhan Allah SWT kurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW satu malam yang lebih baik dan lebih mulia dari seribu bulan (amalan pada malam tersebut menyamai 83tahun 3 bulan) seperti yang termaktub di dalam surah al-Qadr. Iaitu malam Lailatul Qadar.

5.  Hanya dalam bulan Ramadhan sahaja terdapatnya solat sunat TARAWIKH. Tarawikh itu ertinya berehat-rehat. (santai-santai).

6.  Sesiapa yang menunaikan ibadah sunat seperti sedekah, solat tarawikh, qiamullail, baca al-Quran dan lain-lain lagi ibadah sunat akan diberi pahala oleh Allah SWT seperti seorang yang membuat ibadah FARDHU iaitu ibadah yang WAJIB. Dan sesiapa yang membuat ibadah FARDHU / WAJIB pula Allah SWT akan gandakan sebanyak 70x ganda seperti menunaikan ibadah FARDHU / WAJIB tersebut.

7.  Allah SWT telah menyediakan bagi orang yang berpuasa dengan kesabaran dan keimanan yang jitu sebuah SYURGA yang dinamakan al-RAYYAN

Pesanan Ustazah : 

Semoga anak-anak didik kesayangan semua dapat memanfaatkan bulan Ramadhan ini sebaiknya. Kalau boleh tinggalkan perkara-perkara yang melalaikan kita atau yang boleh mengurangkan pahala ibadah puasa kita. TV, Game, lepak-lepak dan memacam lagi perkara yang tidak berfaedah tu, kurangkan. Banyakkan baca al-Quran, atau kalau tengok TV, buka siaran yang boleh mendatangkan manfaat ilmu dan menambah pengetahuan agama kita. Jangan tengok yang maksiat-maksiat pula, nanti sia-sia ibadah puasa kita . Lagi satu, jangan ponteng puasa. Memang Ustazah tak tahu kalau ada yang curi-curi makan, tetapi Allah-kan MAHA MELIHAT & MAHA MENGETAHUI. Akhirnya JOM kita ramaikan Masjid dan Surau dengan solat berjemaah dan solat Tarawikh, Ustazah tunggu anak-anak didik kesayangan sekalian di Masjid & Surau …

Salam RAMADHAN & Selamat BERPUASA!!!

Jumaat, 15 Jun 2012

PENGAJARAN DARI PERISTIWA ISRA' DAN MI'RAJ

Sesuatu yang mustahil bagi kita, tidak mustahil bagi Allah:

Bersempena dengan Hari memperingati Isra' dan Mi'raj, marilah kita sama-sama merenung kepada peistiwa besar yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw.

Peristiwa yang terjadi ini adalah sesuatu yang di luar pemikiran logik manusia biasa. Dalam satu malam sahaja Rasulullah saw telah pergi ke Masjid Al Aqsa di Baitulmuqaddis dan naik ke langit( ikraj) serta pulang semula ke Mekkah hanya dalam tempoh satu malam.Hanya orang yang beriman dan memahami keagungan Allah swt sahaja yang mempercayai peristiwa yang telah berlaku semepena isra' dan mikraj ini. Bagi mereka yang tidak mempercayai tentang peristiwa besar ini, adalah terkeluar dari Islam ynag tidak beriman kepada Al Quran dan sunah Rasulullah. Apakah hukumnya orang yang tidak mempercayai dengan ayat-ayat Allah. Allah s.w.t telah berfirman di dalam Al-Quran yang membawa maksud :

"Mahasuci (Allah) yang telah memperjalankan hambanNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat." -
- ( Al-Isra' ayat 1.)

Sebagai seorang Muslim yang beriman tentulah mengetahui bahawasanya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Sesungguhnya apa sahaja yang Allah kehendaki pasti akan berlaku (kun fayakun) tiada siapa boleh menghalangNya. Saidina Abu Bakar yang mendapat gelaran As-Siddiq adalah orang pertama yang membenarkan kata-kata nabi apabila diberitahu tentang perjalanan Rasulullah itu. Tanpa banyak soal dan banyak tanya beliau terus mempercayai akan berita yang disampaikan itu.

Begitulah sepatutnya sikap umat Islam hari ini. Sekiranya perkara yang berkaitan agama Islam dan berkaitan hukum hakam agama, janganlah kita berdolak dalik dan wajiblah kita mempercayainya tanpa ada sebarang persoalan untuk menafikannnya.
Pasti kalian pernah mendengar cerita perjalanan Rasulullah ketika perjalanan menghadap Allah. Rasulullah diperlihatkan bagaimana siksa-siksa yang diterima oleh umat Baginda sekiranya larangan Allah tidak diperendahkan. Apakah yang telah diperlihatkan itu telah pun kits dengar dari ceramah-ceramah dan dibaca dari artikel-artikel. Yang tinggal sekarang hanyalah bagaimana kisah-kisah itu nak dijadikan iktibar kepada kita yang masih hidup ini. Kita hendaklah ingat bahawa , yang hidup pasti akan mati. Yang telah menemui ajalnya kita doakan agar mereka dilindungi dari azab Allah. Fikirkanlah untuk diri kita yang masih hidup ini dan sudah pasti suatu hari nanti kita juga akan ditemukan dengan saat-saat kematian. Ingat... hidup kita bukan berehenti di dunia ini.

Satu perkara ynag besar dikaitkan dengan peristiwa israk dan mikraj ini adalah satu perintah ibadah Solat. Betapa sayang dan kasihnya Allah terhadap makhluk-makhluknya sehingga diberikan satu . Allah menghadiahkan solat 5 waktu kepada kita tetapi jarang sekali dan susah sekali untuk kita menjaga solat itu sebaik yang mungkin.

Allah memerintahkan kita solat 5 waktu untuk kita mengadapNya memohon terus kepadaNya. Sekiranya kita lihat kepada maksud solat itu sendiri adalah doa. Allah berpesan kepada hamba-hambaNya mintalah kepadaKu nescaya akan Kumakbulkan. Solat lah antara satu cara untuk kita memohon kepada Allah...agar segala permohonan dan hajat kita diqabulkan olehNya...

ayuh! Sama2 kita Hayati Peristiwa Isra' Mikraj..

Isnin, 11 Jun 2012

ERTI KEBAHAGIAAN...

Perjalanan adalah satu kenikmatan tersendiri...

 Alhamdulillah, syukur byk2 kpd Allah SWT, ustazah masih dipinjamkan nyawa utk terus bernafas dan yg paling penting masih dalam iman dan islam..berakhir lah cuti sekolah pertengahan tahun selama 2 minggu, ustazah rasa cuti kali ni bahagia betul hati ini...

waaaahhh...seronoknya cuti sekolah kali ni, lepas habis je kelas tambahan terus suami bawa bercuti ke Pulau Tinggi yg terletak di Mersing..Subhanallah cantik betul pulau tinggi tu, air lautnye jernih, udaranya segar dan nyaman makanan pulak ikan2 dan sotong2 yg freesh, mmg terbaik dari ladang...terima kasih byk2 kpd en suami yg baik hati, penug dgn kasih sayang, terima kaseh abg, lain kali bawak jln2 lagi ye!

Bahagia betul rasa hati ni..

Dapat juga berbakti kepada ibu dan bapa sepanjang cuti ni, jalan2 dgn mak bak, adik2 n anak2 saudara ke putrajaya kl, bawak mak n adik2 berjalan n berkelah di mersing, belanja adik2 makan n baju2 baru, jalan2 mandi pantai, mmg best. Anak2 murid ustazah ada tolong mak ayah tak sepanjang cuti sekolah ni?

Alhamdulillah. hari ni juga bermula sesi persekolah penggal ke dua, terubat sudah rindu ustazah pada anak2 murid sekalian, haih ape tak rindunya dah biasa mengadap gelagat dan telatah kalian yg pelbagai tu, bila duduk sorang2 tu terkenang2 la pada awak semua, menghitung la waktu bila sesi persekolahan akan bermula...selamat kembali ke sekolah dan selamat berlajar dgn bersungguh2 okey!

Bahagia betul rasa hati ni..

pujangga berkata:

" sekali waktu lakukanlah perjalanan untuk menyegarkan semula suasana hidup, untuk melihat perihal dunia di luar dunianya, untuk melihat hal2 baru, negeri2 lain. perjalanan adalah satu kenikmatan tersendiri. "