Jumaat, 15 Februari 2013

HALAL HARAM DALAM FACEBOOK

INDAHNYA DUNIA MUKA BUKU...

Setelah beberapa tahun dalam usaha menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

    1)Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.  Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami  serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu  jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

    2)Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekatsangat dekat ( sehingga memenuhi  kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri).  Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar,  si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

    3)Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

     4)Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar. 

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

     5)Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
1)Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram. 

2) Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

3) Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

      6)Mengutuk diri sendiri & kebaikan
  Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
    
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung.  Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

Kesimpulannya, Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Rabu, 13 Februari 2013

TABARRUJ SUATU KEHINAAN


Allah S.W.T telah berfirman di dalam KitabNya yang mulia yang bermaksud:
 
Dan janganlah kamu mendedahkan diri  seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyyah yang terdahulu”.                                                               
 (surah al-ahzab: 33)

Tabarruj, ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu dibahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain. Para Mufassirin menterjemahkan maksud tabarruj ialah mereka yang memakai pakaian yang mendedahkan aurat seperti cara kaum jahiliyah. Al-Bukhari RahmatuLlahi ‘Alaihi ada berkata: “Tabarruj, iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.” Maka Allah S.W.T melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh dari berhias-hias (tabarruj), untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan ‘aurat dan di samping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan,, 

Melihat kepada senario hari ini, sebilangan besar wanita sekarang berlagak bagaikan pengantin baru bila keluar dari rumah. Mereka Tiada lagi rasa malu malah berasa bangga. Mereka berpakaian indah mengikut fesyen. Ada pula kain bajunya terlalu nipis hingga terbayang bentuk ukuran badan. Dengan perbuatan ini, seolah-olah mereka berkata-kata di dalam hati: “Siapakah tidak terpesona bila melihat keindahan fesyen pakaian yang membalut tubuhku? Siapakah tidak tertarik pada bentuk badan dan langkahku dan siapa?” 

  Sedarkah kita kaum wanita, bahawa perbuatan tersebut tidak ubah seperti penjual manik  tiruan di jalan-jalan atau di kaki lima. Setiap yang lalu pasti memerhatikan. Jika orang tidak melihat, penjual sendiri datang menawarkan diri. Malangnya, ramai pemerhati dari pembeli.  Andainya kita berfikir sejenak, nescaya timbul perasaan malu. Maka Natijahnya, sudah pasti kita  akan menutup ‘aurat dan keindahan rupa paras yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Ummu Salamah R.A ada menceritakan,pada suatu hari  Asma’ binti Abu Bakar telah menziarahi Rasullullah s.a.w dengan berpakaian nipis. Lantas Rasulullah s.a.w menasihatinya dengan sabdanya yang bermaksud:
“Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang gadis yang telah berhaid (baligh), tidak
harus baginya menzahirkan anggota badan, kecuali ini dan ini.” 
Di samping itu Rasulullah mengisyaratkan kepada muka dan dua tapak tangan. Melalui maksud Hadis tadi, dapatlah difahamkan bahawa Rasulullah s.a.w juga  telah menjelaskan bagaimana kedudukan wanita-wanita yang baik. Sebagai model untuk Muslimat, Rasulullah s.a.w menyuruh isteri-isteri dan anak-anak perempuan supaya mereka memakai jilbab (purdah). “Wahai wanita-wanita yang beriman! Hendaklah kamu semua berpakaian menutup ‘aurat. Setiap pergaulan dan percakapan mestilah berpandukan Islam. Dari aspek-aspek inilah dapat diukur sejauh manakah keimanan kamu dalam melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya”.

Duhai mujahidah Islam! Andainya pakaian dan tingkah laku kita tidak ada bezanya dengan penari-penari di kelab malam, atau pakaian kita sama sahaja dengan pakaian wanita-wanita yang tidak beriman, di manakah letaknya bukti dan di manakah letaknya keperibadian kita sebagai wanita Islam? Iman terletak di hati sudah tentu tidak dapat dilihat. TETAPI penzahiran keimanan dapat dilihat dari amalan dan pakaian serta tingkah laku kita. Percayalah, Allah s.w.t telah menciptakan manusia dengan seindah-indah kejadian.

Oleh itu berwaspadalah  wahai mujahidah Islam. Ingatlah, ada barang di dunia ini yang boleh dipamerkan dan dilihat dan ada pula yang tidak boleh dipamerkan dan dilihat. Dorongan syahwat perlu dikawal dengan iman. Kerana kadang-kala ia menguntungkan tetapi  lebih banyak merugikan, kita rugi  di dunia lebih rugi lagi di akhirat. 

Di dunia, kita ditertawakan atau dipermain-mainkan orang, di akhirat pula, kita pasti menerima siksaan! Tidak dinafikan bahawa setiap insan mempunyai perasaan dan keinginan, inginkan kecantikan dan pemandangan yang indah, tetapi, bersederhanalah, bertaqwalah, takutlah kita kepada murka dan siksaan Allah, kerana di akhirat nanti kita belum tentu layak masuk ke syurganya apatah lagi untuk  cuba  lari dari perhitungannya. 

..Tidak menjadi kesalah kita mengikuti fesyen, tapi adalah satu kehinaan melampaui batas dalam berfesyen... 

Jumaat, 25 Januari 2013

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W


 

 Tarikh : 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriah 
Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah


Wahai manusia, 
dengarlah baik baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. 

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang. 

Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara perkara kecil. 

Wahai manusia , 
sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ata mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. 

Wahai manusia
 dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,sembahlah ALLAH, dirikan sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikan zakat dan harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak saorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan Beramal Solleh. 

Ingatlah, 
bahawa kamu akan mengadap ALLAH pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai maanusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. 

Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. 

Saksikanlah ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hamba hambaMU.

Jumaat, 18 Januari 2013

Semangat sang Kodok

Siapa berusaha dia pasti jauh dari berputus asa...
 
Sekelompok kodok sedang berjalan-jalan melintasi hutan,dan dua di antara kodok tersebut jatuh kedalam sebuah lubang. Semua kodok-kodok yang lain mengelilingi lubang tersebut. Ketika melihat betapa dalamnya lubang tersebut,mereka berkata pada kedua kodok tersebut bahwa mereka lebih baik mati. Kedua kodok tersebut tak menghiraukan komentar itu dan mencuba melompat keluar dari lubang itu dengan segala kemampuan yang ada. Kodok yang lainnya tetap mengatakan agar mereka berhenti melompat dan lebih baik mati.

Akhirnya, salah satu dari kodok yang ada di lubang itu mendengarkan kata-kata kodok yang lain dan menyerah. Dia terjatuh dan mati. Sedang kodok yang satunya tetap meneruskan untuk melompat sedapat mungkin. Sekali lagi kerumunan kodok-kodok tersebut berteriak padanya agar berhenti berusaha dan mati saja. Dia bahkan berusaha lebih kuat dan akhirnya berhasil.

Ketika dia sampai diatas, ada kodok yang bertanya, "Apa kau tidak mendengar teriakan kami?". Lalu kodok itu (dengan membaca gerakan bibir kodok yang lain) menjelaskan bahawa ia pekak. Akhirnya kodok2 tesebut sedar bahwa saat di bawah tadi kodok pekak itu menganggap mereka telah memberikan semangat kepadanya.



Renungan :

Kekuatan hidup dan mati ada di lidah. Kekuatan kata-kata yang diberikan pada seseorang yang sedang "jatuh" justeru dapat membuat orang tersebut bangkit dan membantu mereka dalam menjalani hari-hari.

Kata-kata buruk yang diberikan pada seseorang yang sedang "jatuh" dapat membunuh mereka. Hati hatilah dengan apa yang akan diucapkan. Suarakan 'kata-kata kehidupan' kepada mereka yang sedang menjauh dari jalur hidupnya. Kadang-kadang memang sulit dimengerti bahwa 'kata-kata kehidupan' itu dapat membuat kita berfikir dan melangkah jauh dari yang kita perkirakan.

Semua orang dapat mengeluarkan 'kata-kata kehidupan' untuk membuat rakan dan teman atau bahkan kepada yang tidak kenal sekalipun untuk membuatnya bangkit darikeputus-asaanya, kejatuhannya, ataupun kemalangannya.

Sungguh indah apabila kita dapat meluangkan waktu kita untuk memberikan semangat kekuatan bagi mereka yang sedang putus asa dan jatuh.

Jumaat, 11 Januari 2013

Tuntutlah Ilmu dari Buaiyan hingga ke Liang Lahad



 Ilmu adalah mutiara...

Selalu kita mendengar salah satu hadith Rasulullah SAW yang amat popular ialah galakan dalam menuntut ilmu. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
 "Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahat"

Mengikut terjemahan yang sering kita dengar, hadith tersebut mengalakkan kita menunut ilmu sejak buain lagi. Maknanya proses pembelajaran itu bermula sejak seseorang itu dilahirkan di dunia. Jadi perkataan buaian diterjemahkan sebagai buaian bayi. Lojiknya semua bayi akan menikmati buaian tidak kira miskin atau kaya.....Benarkah ? Jadi, proses menuntut ilmupun bermula sehingga seseorang itu mati.

Saya kira, pendapat ini tidak tepat. Perkataan al-mahdi (buaian) hendaklah diterjemahkan sebagai rahim ibu. Bayi yang berada di dalam rahim ibunya akan merasa seperti berada dalam buaian bergantung kepada pergerakan ibunya. Mungkin anda masih teringat tentang surah-surah pilihan yang sunat diamalkan oleh ibu-ibu yang hamil, menjaga bercakapan dan perangai dan selalu membelai anak di dalam rahimnya. Semua ini bertujuan untuk mendidik bayi tersebut supaya menjadi anak yang baik dan soleh apabila dilahirkan ke dunia kelak. Jadi, pendidikan itu bermula sejak dari alam rahim lagi.

Tambahan pula, kalau kita baca dan lihat tentang rencana di majalah, tv atau internet, ramai bakal ibu memberi pendidikan bayinya sejak dalam buaian lagi. Misalnya meletakkan alat hiburan (earphone) ke perutnya dengan harapan bayinya dapat bertindakbalas dan mnegenali muzik. Ini juga merupakan satu pendidikan......  

Jelaslah bahawa pendidikan itu bermula sejak bayi masih berada di dalam alam rahim lagi.
Oleh itu para bakal ibu hendaklah menjaga tuturbicara dan tingkahlaku mereka kerana semua itu akan diikuti oleh bayi mereka apabila mereka lahir kelak. Banyakkan membaca atau mendengar al-Quran, berzikir dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Di antara surah-surah yang sunat diamalkan ialah surah Ar-Rahman, surah Maryam, surah Yusof, surah Yaasin,surah at-Taubah, surah Luqman, surah an-Nahl dan surah al-A'raf.

p/s : Ilmu itu adalah MUTIARA..bagi orang yang benar-benar mencari dan menghargainya...

Khamis, 10 Januari 2013

Batu menjadi saksi Syahadah

Tersebut sebuah kisah...
 
Dalam sebuah hadith menceritakan pada zaman dahulu ada seorang lelaki wukuf di Arafah. Dia berhenti di lapangan luas itu. Pada waktu itu orang sedang melakukan ibadat haji. Wukuf di Arafah adalah salah satu rukun haji. Bahkan wukuf di Arafah disebut sebagai haji yang sebenarnya kerana apabila seseorang ituberwukuf di Padang Arafah dianggap hajinya telah sempurna walaupun yang lainnya tidak sempat dilakukan.
Sabda Rasulullah SAW :
"Alhajju Arafat"  (Haji itu di Arafah).
Rupanya lelaki itu tadi masih belum mengenali Islam dengan lebih mendalam. Masih dalam istilah 'muallaf'. Semasa dia berada di situ, dia telah mengambil tujuh biji batu lalu berkata pada batu itu :
"Hai batu-batu, saksikanlah olehmu bahawa aku bersumpah bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah."
Setelah dia berkata begitu dia pun tertidur di situ. Dia meletakkan ketujuh-tujuh batu itu di bawah kepalanya. Tidak lama kemudian dia bermimpi seolah-olah telah datang kiamat. Dalam mimpi itu juga dia telah diperiksa segala dosa-dosa dan pahalanya oleh Tuhan. Setelah selesai pemeriksaan itu ternyata dia harus masuk ke dalam neraka. Maka dia pun pergi ke neraka dan hendak memasuki salah satu daripada pintu-pintunya.
Tiba-tiba seketika batu kecil yang dikumpulnya tadi datang dekat pintu neraka tersebut. Tetapi mereka tidak sanggup rupanya. Malaikat azab telah berada di situ. Semua malaikat itu menolaknya masuk ke pintu neraka tersebut. Tapi tidak sanggup rupanya. Kemudian dia pun pergi ke pintu lain. Para malaikat itu tetap berusaha hendak memasukkannya ke dalam neraka tapi tidak berjaya kerana batu mengikut ke mana sahaja dia pergi.
Akhirnya habislah ketujuh pintu neraka didatanginya. Para malaikat yang bertindak akan menyiksa orang-orang yang masuk neraka berusaha sekuat tenaga untuk menolak lelaki itu dalam neraka tetapi tidak berjaya. Sampai di pintu neraka nombor tujuh, neraka itu tidak mahu menerimanya kerana ada batu yang mengikutinya. Ketujuh-tujuh batu itu seolah-olah membentengi lelaki itu daripada memasuki neraka. Kemudian dia naik ke Arasy di langit yang ketujuh. Di situlah Allah berfirman yang bermaksud :
"Wahai hambaku, aku telah menyaksikan batu-batu yang engkau kumpulkan di padang Arafah. Aku tidak akan menyia-nyiakan hakmu. Bagaimana aku akan menyia-nyiakan hakmu sedangkan aku telah menyaksikan bunyi 'syahadat' yang engkau ucapkan itu. Sekarang masuklah engkau ke dalam syurga."
Sebaik sahaja dia menghampiri pintu syurga itu, tiba-tiba pintu syurga itupun terbuka lebar. Rupanya kunci syurga itu adalah kalimat syahadat yang diucapkannya dahulu.

Isnin, 7 Januari 2013

Katakan tidak pada Dosa...

Dosa sifar!
Dalam kehidupan yang serba moden ini, berapa ramaikah antara kita yang merasakan betapa beratnya hati dan rasa bersalah apabila mendengar perkataan dosa ! Cuba rakan-rakan dan anak-anak sekalian sebutkan perkataan ini kepada sesiapa sahaja yang kamu kenali atau tidak, bagaimana respon atau reaksi mereka ? tergamam? buat tak tahu? atau tunduk menginsafi? Alhamdulillah, kalau kita dan mereka faham...


Tetapi bagi mereka yang keras hatinya, seakan-akan telinga mereka kurang senang mendengar kalimah tersebut. Apatah lagi kalau dikatakan , ‘ini tidak boleh", "kalau dikerjakan nanti berdosa" dan "akan masuk neraka".
Bagi golongan ini, kalau dirasakan dah terlanjur, maka sibuk mencari pelbagai alasan seperti "memang dah kehendak Allah, nak buat macam mana ?". Seolah-olah Allah yang bersalah, bukan dirinya. Apalagi kalau anda menyebut : "berdosa besar dan pasti disiksa teruk di neraka kelak".

Manusia yang hidup dengan prinsip ini menyambut sinis apa yang anda perkatakan. Yang penting bagi mereka sekarang, dunia ini dulu, soal akhirat masih terlalu jauh. Persoalan mati dan kiamat tiada dalam ingatan. Tambahan pula dirasakan apa yang dilarang, enak pula bagi nafsunya.
Dosa adalah satu perkara besar yang perlu diketahui oleh semua insan…Persoalan dosa ini banyak disebutkan di dalam al-Quran dan Hadith hinggakan para ulama’ tidak jemu-jemu memberi penjelasan kepada setiap insan agar menjauhinya di setiap masa dan tempat.

 Paling menyedihkan, malah ada yang mengesyorkan orang lain buat sesuatu dosa seraya dengan bangganya berkata : "jangan susah, aku tanggung dosa". Seolah-olah dosa adalah perkara kecil yang tidak perlu ditakuti. Padahal dosa sendiri berat mengunung inikan pula nak tanggung dosa orang lain. Inilah hakikat manusia, bodoh dan sombong, kecuali mereka yang mengerti !!!

Sesungguhnya dosa itu merupakan ‘tiket percuma’ untuk masuk ke NERAKA !!!
Dosa merupakan dokumen yang mengesahkan anda sebagai WARGANEGARA NERAKA !!!
Dosa merupakan bukti sah bahawa anda tidak berminat kepada SYURGA !!!
Hakikatnya, dosa adalah ranjau dalam kehidupan dunia ini yang telah diberitahu oleh Allah dan para RasulNya awal-awal lagi supaya jangan dilanggar dan dilalui, supaya manusia selamat dalam perjalanan hidup hingga ke akhirat.

Alangkah indahnya Islam…..
Syukur kita kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan kita iman dan Islam.
Islamlah yang mendedahkan kepada kita jalan-jalan yang merbahaya di dunia ini. Jadi, kita berjalanlah dengan baik dan berhati-hati, ranjau-ranjau yang menyulitkan dan menghalang perjalanan kita telahpun diberitahu, sehingga kita dapat sampai ke destinasi tujuan tanpa terpijak ranjau-ranjau berduri yang merbahaya.

Di era kecanggihan ini, kita dapati berbagai perkembangan pesat berlaku khususnya dalam mempertingkatkan mutu dan kualiti. Masing-masing mengejar kesempurnaan. Dan bagi mukmin yang sejati, sepatutnya memgamalkan slogan Dosa sifar!
walai hakikatnya adalah mustahil untuk mencapai status DOSA SIFAR kerana manusia tidak akan lari dari melakukan kesilapan dan dosa.
Tetapi yang penting, kita berusaha sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan kadar implasi dan kesalahan.
Begitulah juga dalam persoalan DOSA SIFAR. Walaupun kita tidak terlepas dari dosa, tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk mengurangkan dosa……


Mulai hari ini, marilah kita adakan kempen pada diri kita…
Aku berazam dan berusaha menjauhi dosa dan perkara-perkara yang membawa kepada natijah Dosa dan Kemurkaan Allah...