Jumaat, 8 Mac 2013

DI MANA KECANTIKAN WANITA??

BUNGA YANG CANTIK TAK SEMESTINYA HARUM..

Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah "cermin" dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?

Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu... setiap wanita berhak untuk cantik!

Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.


Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.


Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.

Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.


Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.


Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.


Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, 'beauty in the eye of beholder'.

Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.


Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah... mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.

Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? 


Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua'lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.

Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.


Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.


Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?

 

Ya, kecantikan akhlak... boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa... tapi peluangnya untuk "cantik" tetap serupa! Meletakkan Allah di tempat pertama, mengamalkan sunnah Rasulullah, mentaati ibu dan bapa dan berakhlak dengan akhlak yang mulia...

...Renung-renungkan, selamat beramal...

Khamis, 7 Mac 2013

TENTANG HATI..

BAIK BURUK PERANAN HATI

Hati merupakan asas yang sangat penting dan tersembunyi dalam diri setiap insan. la memainkan peranan yang sangat bermakna dalam kehidupan seharian. Rasulullah s.a.w. menyatakan soal hati seperti berikut:
‘Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik maka baiklah keseluruhan segala perbuatannya dan apabila buruk maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati’.

Berdasarkan hadis di atas bahawa kebaikan manusia atau keburukannya datang dari hati, kerana hati adalah pengarah bagi pancaindera yang lahir. Jika hatinya baik maka baiklah segala perbuatannya serta rasa senang setiap rakan taulan mendekatinya dalam pergaulan. Andai hatinya buruk dan busuk, maka segala perbuatannya akan jahat dan keji, sentiasa cenderung ke arah maksiat mengikut kehendak hati dan hawa nafsu, dan pernikirannya ketika itu pula akan kalah dan sentiasa diketepikan. Oleh itu, hati adalah raja bagi seluruh anggota, manakala anggota-anggotanya yang lain adalah tentera. Anggota-anggota ini sering melakukan sesuatu mengikut kehendak hati. Andai baik hati maka baiklah dalam pergaulan. Andai sebaliknya, maka kawan dan rakan seringl kali menjadi mangsa. 

Dalam masalah ini Allah s.w.t sentiasa mengingatkan kepada hamba Nya melalui firman Nya dalam al Quran, surah al Syu'ara' 26, ayat 88-89 yang berbunyi:
‘Di hari yang tidak ada manfaat sama ada harta benda begitu juga anak-anak melainkan sesiapa yang menghadap Allah dengan hati yang suci murni (iaitu penuh keikhlasan) kerana Allah semata-mata.’ Hati yang amat dihargai di sisi Allah ialah hati yang suci bersih dari sebarang maksiat, syubhah, hasad dengki dan seterusnya perkara perkara yang makruh atau yang dibenci oleh Allah. 

Sebab itu Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa kepada Allah dengan sabdanya:
‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon darimu hati yang suci bersih’.

Walaupun Rasulullah s.a.w seorang yang maksum, tetapi baginda sentiasa berdoa supaya hatinya suci bersih. Hal ini adalah bertujuan sebagai pengajaran kepada umatnya. Dengan demikian hati yang suci bersih dari sebar ang kekejian itu ialah hati yang bersih dari segala penyakit yang dibenci oleh Allah seperti hasad, dengki, dendam, iri hati, cemburu di atas kejayaan orang lain atau merancang sesuatu yang tidak baik bertujuan menganiaya orang lain dan sebagainya. Seandainya tidak ada perkara perkara yang tersebut di atas, sudah tentu hati itu akan sentiasa kasih kepada Allah dengan melakukan perkara perkara yang diredai oleh Allah dengan rasa ikhlas. Naijahnya rakan dan taulan orang di sekeliling juga menyenanginya dalam pergaulan dan yang pasti Allah sentiasa mengasihinya.

...Renung-renungkan, selamat beramal...

Selasa, 5 Mac 2013

HANYA DENGAN AL-QURAN

KISAH WANITA BERCAKAP HANYA DENGAN AL-QURAN

Berkata Abdullah bin Al-Mubarak : Aku pernah keluar menunaikan Haji ke Baitullah Al-Haram, dan menziarahi ke makam Rasulullah SAW. Ketika aku berada di dalam perjalanan pulang, tiba-tiba aku melihat seorang wanita tua berpakaian hitam yang dibuat dari bulu binatang yang menutupi seluruh badannya kecuali muka dan dua tapak tangannya.

Maka terjadilah perbualan di antara Abdullah Bin Al-Mubarak dengan wanita tua itu.

Abdullah     : " الســـلام عليــكم ورحمة اللــه"
Wanita tua  :  
سَلاَمٌ قَوْلاً  مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ 
58. Ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.
  Yaasin

Abdullah     : " Semoga Allah merahmati kamu, apa yang kamu buat di tempat ini ? "
Wanita tua  : 
مَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ   
 186. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya. 
Surah Al-A'raf
Dengan jawapan ini aku tahu, sesungguhnya dia tersesat jalan.

Abdullah      : " Ke mana kamu hendak pergi? "
Wanita tua   : 
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى 
 1. Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin).
Surah Al-Israa

Dengan jawapan ini saya mengerti sesungguhnya dia telah mengerjakan haji dan dia mahu ke Baitul Maqdis.

Abdullah      : " Sejak bila lagi kamu berada di tempat ini ? "   
Wanita tua   : 
 
ثَلاَثَ لَيَالٍ سَوِيًّا
10. Selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat.
Surah Maryam

Abdullah      : "  Aku tidak nampak pun makanan yang kamu makan ? "
Wanita tua   : 
 
هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ
 79. Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum.
Surah Asy-Syua'raa

Abdullah      : " Dengan apa kamu berwudhu (air sembahyang) ? "
Wanita tua   : 
 
فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا 
 6. Sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih.
Surah Al-Maidah

Abdulah       : " Aku mempunyai makanan, apakah kamu mahu memakannya ?"
Wanita tua   : 
 
ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
 187. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).
Surah Al-Baqarah

Abdullah      : " Sesungguhnya dibolehkan bagi kita untuk berbuka ketika bermusafif "
Wanita tua   : 
وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
 184. Dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), jika kamu mengetahui.
Surah Al-Baqarah

Abdullah     : " Mengapa kamu tidak berkata sepetimana aku katakan kepadamu ?"
Wanita tua  : 
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
 18. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).
Surah Qaf

Abdullah    : " Maka kamu ini dari golongan manusia yang mana ?"
Wanita :  
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً
 
36 . Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. Surah Al-Israa

Abdullah     : " Sesungguhnya aku telah salah, maka berilah aku jalan penyelesaian "
Wanita tua  :    
لاَ تَثْرِيبَ عَلَيْكُمْ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
 92. Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dialah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
Surah Yusuf

Abdullah     : " Bolehkah saya mengangkatmu untuk naik ke atas untaku, mungkin kamu akan medapati kafilah (rombongan orang) di depan sana ?. "
Wanita tua  : 
   
وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ
197. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah.
Surah Al-Baqarah

Maka berpalinglah dia dari unta itu, sambil berkata :
Wanita tua  :   
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
 30. Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).
Surah An-Nur

Maka aku pun mengalihkan pandanganku daripadanya dan aku berkata kepadanya : naiklah ke atas untaku ini. Apabila dia menaiki unta itu, tiba-tiba aku terdengar robekan pakaiannya. Wanita itu berkata lagi.
Wanita tua   :   
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ 
 30. Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa).
Surah Asy-Syura

Maka aku pun mengikat unta itu lalu aku berkata kepadanya : naiklah ke atas unta ini.
Wanita tua  : 
 
سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ. وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ 
 13. Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. 14. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali !
Surah Az-Zukhruf

Maka aku mengambil tali unta itu dan membawanya dengan sangat laju. Wanita tua itu berkata lagi.
Wanita tua  :  
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ
 19. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata).
Surah Luqman

Lalu aku jadikan unta itu berjalan dengan perlahan demi perlaham demi perlahan, dan sambil menperdengarkan kepadanya dengan syair.
Wanita tua  :  
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْ الْقُرْآنِ
 20. Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran.
Surah Al-Muzzammil

Abdullah     : " Sungguh kamu telah diberikan kebaikan yang berlimpah ruah. "
Wanita tua  :   
وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُوا الأَلْبَابِ
 269. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Surah Al-Baqarah

Apabila aku baru membawanya (dengan dia di atas untaku). Aku bertanya kepadanya.
Abdullah     : " Adakah kamu mempunyai suami ? "
Wanita tua  : 
   
يَا  أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ
 101. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.
Surah Al-Maidah

Maka aku diam dan tidak bercakap dengannya sehingga aku berjumpa segolongan orang.
Abdullah      : " Ini segolongan orang. Adakah kamu ada kenal sesiapa ? "
Wanita tua   :  
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
 46. Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.
Surah Al-Kahf
     Jawapannya itu memberitahu bahawa dia juga mempunyai anak.

Abdullah     : " Bagaimana keadaan mereka dalam menunaikan haji ? "
Wanita tua  :  
وَعَلاَمَاتٍ وَبِالنَّجْمِ هُمْ يَهْتَدُونَ
 16. Dan (Ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak di tuju.
Surah An-Nahl

Dari jawapannya ini aku tahu bahawa mereka ada panduan perjalanan seperti di belakang meraka, maka yang aku maksudkan ialah khemah-khemah dan bangunan-bangunan milik mereka.

Abdullah     : " Kamu ada kenal sesiapa tak dalam kawasan khemah ini ? "
Wanita tua  :   
وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلاً
 125. Dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.
Surah An-Nisaa
 وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَى تَكْلِيمًا 
164. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan). Surah An-Nisaa
 يَا يَحْيَى خُذْ الْكِتَابَ بِقُوَّة 
12. Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Surah Maryam

Lalu aku memanggil : Wahai Ibrahim, Musa, Yahya. Apabila pemuda-pemuda (yang dipanggil tadi telah keluar), aku lihat. Setelah tiga anak ini datang dan duduk denga mereka ini seperti bulan yang baru muncul.
Apabila mereka semua duduk. Maka wanita itu berkata.
Wanita  : 
فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ
 19. Sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal  (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya.
Surah Al-Kahf

     Maka salah seorang dari mereka itu pergi untuk membeli makanan, lalu menghidangkan di hadapanku, lalu perempuan tua itu berkata :

Wanita tua  : 
كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الأَيَّامِ الْخَالِيَةِ
 24. “ Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia) ! ”
Surah Al-Haqqah

Abdullah : " Sekarang kamu makanlah dulu. Aku tidak akan makan selagi kamu tidak memberitahu tahu aku siapakah wanita tua ini."

     Maka mereka berkata : " Beliau adalah ibu kami, semenjak empat puluh tahun beliau tidak bercakap melainkan dengan bacaan ayat al-Quran sahaja kerana takut dia tersilap dalam berbicara dan takut Allah SWT akan memurkainya."

     Maka aku berkata :  
ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
4. Yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. Surah Al-Jumuah

     Inilah cerita yang telah berlaku tentang seorang wanita yang hanya berbicara dengan ayat Al-Quran, dia sangat bijaksana kerana takut jatuh dalam kesalahan lidahnya dan dia tidak menginginkan sesuatu melainkan Allah dan RasulNya SAW. 

Dipetik dari kitab  الف قصة وقصة من قصص الصالحين والصالحات ونوادر الزاهدين والزاهدات
 

Khamis, 21 Februari 2013

HARI YANG ISTIMEWA

  KEISTIMEWAAN HARI JUMAAT...
 
Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, lebih mulia drp hari raya Aidil Fitri dan hari raya Aidil Adha. Di antara perkara yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat ialah ;
a)  Adam dijadikan
b) Adam dimasukkan ke Syurga
c) Adam dikelaurkan dari Syurga dan dihantar ke dunia (Bumi)
d) Adam dimatikan
e) Hari Kiamat akan berlaku
f) Terdapat satu masa yg mana doa amat makbul.
 
عَنْ أَبِي لُبَابَةَ بْنِ عَبْدِ الْمُنْذِرِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ سَيِّدُ الْأَيَّامِ وَأَعْظَمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَهُوَ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ فِيهِ خَمْسُ خِلَالٍ خَلَقَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ وَأَهْبَطَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ إِلَى الْأَرْضِ وَفِيهِ تَوَفَّى اللَّهُ آدَمَ وَفِيهِ سَاعَةٌ لَا يَسْأَلُ اللَّهَ فِيهَا الْعَبْدُ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ مَا لَمْ يَسْأَلْ حَرَامًا وَفِيهِ تَقُومُ السَّاعَةُ مَا مِنْ مَلَكٍ مُقَرَّبٍ وَلَا سَمَاءٍ وَلَا أَرْضٍ وَلَا رِيَاحٍ وَلَا جِبَالٍ وَلَا بَحْرٍ إِلَّا وَهُنَّ يُشْفِقْنَ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Dari Abu Lubanah bin Abdul Munzir, Rasulullah SAW telah bersabda ; Sesungguhnya hari Jumaat itu penghulu segala hari, semulia hari di sisi Allah dari Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Pada hari Jumaat itu terdapat 5 perkara ; Allah telah menciptakan Adam, Adam diturunkan ke dunia, Adam dimatikan, padanya (Jumaat) terdapat satu ketika (masa)  dimana tiada siapapun yang meminta kepada Allah, Allah pasti menunaikan permintaannya selagi dia tidak meminta perkara haram, padanya (Jumaat) terjadinya hari Kiamat. Tidak ada malaikat Muqarrab, malaikat menjaga langit, malaikat menjaga dunia, malaikat menjaga angin, malaikat menjaga gunung, malaikat menjaga laut, melainkan semuanya merasa kasih pada hari Jumaat.  Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah.

...Marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan-amalan sunnah pada hari jumaat, semoga dengan amalan yang sedikit itu dapat membantu kita meraih syurga Allah...

Selasa, 19 Februari 2013

KENALI MUSUH KITA



BIODATA IBLIS

 
Nama                       : IBLIS LAKNATULLAH  
T.Kelahiran             : Bermula dari keengganannya sujud kepada Nabi Adam a.s
Status diri               : Fasik kelas pertama
Agama                    : Kufur
Tempat Tinggal      : Hati-hati mereka yang lalai Alamat Tetap            : Neraka jahanam

Kawasan                 : Setiap tempat yang di dalamnya tiada usaha untuk mengingati Allah
Arah perjalanan     : Tiada haluan dan bengkang bengkok

Isteri                    : Setiap wanita yang tidak menutup aurat, tidak mentaati Allah,Rasul dan suaminya
Kaum kerabat              : Semua golongan yang menentang dan memusuhi Allah
Modal pusingan          : Angan angan kosong
Tempat pertemuan     : Pasar pasar
Musuh ketat                : Setiap orang Islam yang beriman dan bertakwa
Motto kerja                  : 'Hipokrasi asas akhlak'

Hobi                    : Melalaikan orang dari mengingati Allah, menggoda dan menyesatkannya
Cita cita                       : Supaya semua makhluk di muka bumi ini menjadi kafir
Kelemahannya           : Bila orang membaca istighfar
Logo                           : Sebarang tatu
Pejabat operasi          : Tandas.bilik air, tempat yang bernajis dan kotor serta tempat tempat maksiat
Rakan kongsi             : Golongan munafik serta syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia
Sumber pendapatan  : Segala harta yang diperoleh dengan jalan haram dan riba
Jenis perkhidmatan  : Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka terhadap Allah
Tempoh perkhidmatan : Sehingga hari khiamat
Matlamat                   : Membawa setiap makhluk ke neraka jahanam

Teman sejawat          : Orang yang suka mendiamkan dirinya dari menyatakan kebenaran
Ganjaran                  : Dosa dan kemurkaan Allah
Pembantu setia        : Orang yang suka mengumpat, mencaci, memaki hamun, menghasut, pendengki dan pendendam
Makanan kegemaran : Daging orang mati dan segala najis dan kotoran
Yang ditakuti             : Orang mukmin yang bertakwa
Yang dibenci            : Orang yang sentiasa berzikir dan mengingati Allah
Alat perangkap          : Wanita cantik,model,pelacur.pragawati,dan sebagainya

Saat ajal                    : Bila tiba waktu yang ditentukan Allah di hari kiamat kelak
Tugas yang paling disukai : Homoseks dan lesbian
Janji janji                  : Janji kosong,angan angan dan tipu daya
Yang membuatnya menangis : Bila orang sujud kepada Allah 

...Kenalilah siapa musuh kita, syaitan dan blis adalah musuh kita, tetapi ingatlah...musuh utama kita adalah hawa nafsu yang bertakhta di jiwa...hapuskanlah ia dengan iman dan taqwa kepada Allah Rabbul Izzati...

Ahad, 17 Februari 2013

DUA LAUTAN YANG TIDAK BERSATU

Sempadan Laut Tawar dan Masin
 
مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ يَلْتَقِيَانِ (19) بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ لَا يَبْغِيَانِ (20)
"Dia membiarkan dua lautan mengalir dan keduanya akan bertemu, antara keduanya ada batasnya yang tidak dilampaui masing-masing"
                                                                                                                       Surah Ar-Rahman : 19-20
Menurut Dr. William W. Hay, Proffesor Sains Geologi Universiti Colorado, pada tahun 1942 setelah ratusan pusat penyelidikan marin dibina, mereka akhirnya menemui satu sempadan di antara Laut Maditeranean dan Laut Atlantik. Ini menunjukkan bahawa ciri-ciri air dalam sesebuah lautan adalah berbeza-beza bergantung kepada kemasinan, suhu dan ketumpatan.

وَهُوَ الَّذِي مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ هَذَا عَذْبٌ فُرَاتٌ وَهَذَا مِلْحٌ أُجَاجٌ وَجَعَلَ بَيْنَهُمَا بَرْزَخًا وَحِجْرًا مَحْجُورًا (53)
"Dan Dialah yang membiarkan dua laut yang mengalir, yang ini airnya tawar lagi segar dan yang ini masin lagi pahit, dan Dia menjadikan dinding antara keduanya sebagai batas yang menghalangi".
                                                                                                                           
Surah Al-Furqan : 53

 
Sifat lautan, sekalipun larut bersama-sama ialah satu sifat penelapan yang ‘memisahkan’ antara dua laut, adalah satu penemuan dalam bidang oceanographi. Hasil dari satu daya fizikal yang dipanggil ‘ketegangan permukaan’ (surface tension), kandungan air dalam dua laut yang berbeza tidak akan bercampur. Disebabkan oleh kepadatan cecairnya, ketegangan permukaan menghalang larutannya dari bersebati dengan yang lain, seolah terdapat di sana satu dinding nipis yang memisahkannya.
            Apa yang menarik ialah sewaktu manusia belum mempunyai sebarang asas pengetahuan dalam bidang fizik, ‘ketegangan permukaan’ atau oceanographi, fenomena ini telah pun dinyatakan ketika Al-Qur’an diwahyukan.

Sabtu, 16 Februari 2013

3 ORANG CACAT DIUJI MALAIKAT


 TERSEBUT SEBUAH KISAH...

Dari Abdul Rahman bin Abu Amrah bahawa Abu Huarairah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda : 
"Sesungguhnya ada tiga orang dari kaum Bani Israil, yaitu orang sopak - yakni belang-belang kulitnya, orang botak dan orang buta. Allah hendak menguji mereka itu, kemudian mengutus seorang malaikat kepada mereka.

Ia mendatangi orang sopak lalu berkata:
"Keadaan yang bagaimanakah yang amat engkau suka?" Orang sopak berkata: "Warna yang baik dan kulit yang cantik, juga lenyaplah kiranya penyakit yang menyebabkan orang merasa jijik padaku ini." 

Malaikat itu lalu mengusapnya dan lenyaplah kotoran-kotoran itu dari tubuhnya dan dikurniakan -oleh Allah Ta'ala - warna yang baik dan kulit yang cantik.

Malaikat itu berkata pula: "Harta macam apakah yang amat engkau suka?" Orang itu menjawab: "Unta." Atau katanya: "Lembu," yang merawikan Hadis ini sangsi - apakah unta ataukah lembu. Ia lalu dikurniakan unta yang bunting, kemudian malaikat berkata: "Semoga Allah memberi keberkatan untukmu dalam unta ini."

Malaikat itu seterusnya mendatangi orang botak, kemudian berkata: "Keadaan yang bagaimanakah yang amat engkau suka?" Orang botak berkata: "Rambut yang cantik dan lenyaplah kiranya apa-apa yang menyebabkan orang-orang merasa jijik padaku ini." 

Malaikat itu lalu mengusapnya dan lenyaplah botak itu dari kepalanya dan ia dikurniakan rambut yang cantik. Malaikat berkata pula: "Harta macam apakah yang amat engkau suka?" Ia berkata: "Lembu." lapun lalu dikurniakan lembu yang bunting dan malaikat itu berkata: "Semoga Allah memberikan keberkatan untukmu dalam lembu ini."

Akhirnya malaikat itu mendatangi orang buta lalu berkata: "Keadaan bagaimanakah yang amat engkau suka?" Orang buta menjawab: "Aku memohon Allah mengembalikan penglihatanku padaku sehingga aku dapat melihat semua orang." Malaikat lalu mengusapnya dan Allah mengembalikan lagi penglihatan padanya. 

Malaikat berkata pula: "Harta macam apakah yang amat engkau suka?" Ia menjawab: "Kambing." lapun dikurniakan kambing yang bunting - hampir beranak.
Yang dua ini - unta dan lembu melahirkan anak-anaknya dan yang ini - kambing -juga melahirkan anaknya. Kemudian yang seorang - yang sopak - mempunyai selembah penuh unta dan yang satunya lagi - yang botak - mempunyai selembah lembu dan yang lainnya lagi - yang buta - mempunyai selembah kambing.

Malaikat itu lalu mendatangi lagi orang - yang asalnya - sopak dalam rupa seperti orang sopak itu dahulu keadannya - yakni berpakaian serba buruk - dan berkata: "Saya adalah orang miskin, sudah terputus semua sebab-sebab untuk dapat memperoleh rezeki bagiku dalam bepergianku ini. Maka tidak ada yang dapat menyampaikan maksudku pada hari ini kecuali Allah kemudian dengan pertolonganmu pula. Saya meminta padamu dengan atas nama Allah yang telah mengurniakan padamu warna yang baik dan kulit yang cantik dan pula harta yang banyak, sudi kiranya engkau menyampaikan maksudku dalam musafirku ini untuk sekadar bekal perjalanannya." 

Orang sopak itu menjawab: "Keperluan-keperluanku masih banyak sekali." Dia enggan memberikan sedekah padanya. Malaikat itu berkata lagi: "Seolah-olah saya pernah mengenalmu. Bukankah engkau dahulu seorang yang berpenyakit sopak yang dijijiki oleh seluruh manusia, bukankah engkau dulu seorang fakir, kemudian Allah mengurniakan harta padamu?" Orang sopak dahulu itu menjawab: "Semua harta ini saya mewarisi dari nenek-moyangku dulu dan merekapun dari nenek-moyangnya pula." Malaikat berkata pula: "Jikalau engkau berdusta dalam pendakwaanmu - yang menyebutkan bahwa harta itu adalah berasal dari warisan, maka Allah pasti akan menjadikan engkau kembali seperti keadaanmu semula.

Malaikat itu selanjutnya mendatangi orang - yang asalnya -botak, dalam rupa - seperti orang botak dulu - dan keadaannya -yang hina dina, kemudian berkata kepadanya sebagaimana yang dikatakan kepada orang sopak dan orang botak itu menolak permintaannya seperti halnya orang sopak itu pula. Akhirnya malaikat itu berkata: "Jikalau engkau berdusta, maka Allah pasti akan menjadikan engkau kembali sebagaimana keadaanmu semula."

Seterusnya malaikat itu mendatangi orang - yang asalnya - buta dalam rupanya -seperti orang buta itu dahulu - serta keadaannya - yang menyedihkan, kemudian ia berkata: "Saya adalah orang miskin dan anak jalan - maksudnya sedang bepergian dan kehabisan bekal, sudah terputus semua sebab-sebab untuk dapat memperoleh rezeki bagiku dalam bepergianku ini, maka tidak ada yang dapat menyampaikan maksudku pada hari ini, kecuali Allah kemudian dengan pertolonganmu pula. Saya meminta padamu dengan atas nama Allah yang mengembalikan penglihatan untukmu yaitu seekor kambing yang dapat saya gunakan untuk menyampaikan tujuanku dalam bepergian ini."

 Orang buta dahulu itu berkata: "Saya dahulu pernah menjadi orang buta, kemudian Allah mengembalikan penglihatan padaku. Maka oleh sebab itu ambillah mana saja yang engkau inginkan dan tinggalkanlah mana saja yang engkau inginkan. Demi Allah saya tidak akan membuat kesukaran padamu - karena tidak meluluskan permintaanmu -pada hari ini dengan sesuatu yang engkau ambil karena mengharapkan keridhaan Allah 'Azzawajalla."

Malaikat itu lalu berkata: "Tahanlah hartamu - artinya tidak diambil sedikitpun, sebab sebenarnya engkau semua ini telah diuji, kemudian Allah telah meridhai dirimu dan memurkai pada dua orang sahabatmu - yakni si sopak dan si botak."  (Muttafaq alaih)

Dalam riwayat Imam Bukhari kata-kata: La ajhaduka, yang artinya: "Aku tidak akan membuat kesukaran padamu", itu diganti: La ahmaduka, artinya: "Aku tidak memujimu - menyesali diriku - sekiranya hartaku tidak ada yang engkau tinggalkan kerana engkau memerlukannya."

....Tepuk dada tanyalah iman kita..kita mahu jadi yang mana???