Adapun
kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih
daripada Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhu, bersabda
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di
Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya
kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan".
(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan
Ibnu Hibban)
Di Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah
di antara malam-malam yang dikabulkan doa.
Berkata Imam asy-Syafi'ie dalam
kitabnya al-Umm:
"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan:
Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat,
malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya 'Aidil Fitri, malam pertama di
bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh
rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu'az bin
Jabal radhiallahu 'anhu di atas.
Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang
ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan zaman
para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi'in dari penduduk Syam.
Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya
al-Mawahib al-Ladunniyah,
Bahawa para tabi'in daripada penduduk Syam
seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan
bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka
itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.
Para tabi'in tersebut menghidupkan Malam
Nishfu Sya'baan dengan dua cara:
1)
Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di
waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan
memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
2)
Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian.
Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti
sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan
dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan
berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada
secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa
yang dilakukan oleh para tabi'in itu.
Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara
ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan
ada yang memandangnya sebagai bid'ah yang keji. Khilaf berlaku pada
pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut
seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa
yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti
sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya'),
sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat
muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja
sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.
اللهم بارك لنا في شعبان و بلغنا رمضان
Tiada ulasan:
Catat Ulasan