Khamis, 18 Julai 2013

Siri 2 - Puasa Bermatlamatkan Taqwa

Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah : 183

Ertinya : Wahai orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan  ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa.

1.    Dalam ayat 183 surah al-Baqarah, Allah swt menyebutkan secara jelas akan tujuan dan matlamat orang yang berpuasa iaitu "لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ" ertinya moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa. Taqwa itulah perisai yang paling ampuh dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Dalam sebuah hadith riwayat daripada Saidina Uthman bin Abi al-Asr r.a, Nabi saw bersabda  " اَلصِّيَامُ جُنَّةٌ..." ertinya : Puasa itu adalah perisai. Perisai dari melakukan maksiat dan perbuatan keji kerana takutkan Allah dan takut kepada siksaanNya. Tanpa sifat taqwa, manusia akan rosak dan cenderung untuk melakukan maksiat dan kejahatan.

2.    Saidina Ali bin Abi Tholib r.a menyatakan ciri-ciri taqwa itu ialah :                   
  
" الخَوفُ مِنَ الجَلِيْل ، وَالعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ، وَالرِّضَا بِالقَلِيْلِ، وَالاِسْتِعْدَادِ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ"
Ertinya : Takut kepada Allah swt Yang Maha Agung, beramal dengan apa yang diturunkan (al-Quran), redha dengan yang sedikit, dan bersedia untuk hari kematian.

3.    Dalam suatu madah syair arab ada menyebut :

مَن عَرَفَ اللهَ فَلَمْ تُغْنِهِ        مَعْرِفَةُ اللهِ فَذَاكَ الشَّقِيْ
مَا ضَرَّ ذَا الطَّاعَةِ مَانَالَهُ        فِي طَاعَةِ اللهِ وَمَاذَا لَقِيْ
مَا يَصْنَعُ العَبْدُ بِعِزِّ الغِنَى        وَالعِزُّ كُلُّ العِزِّ لِلمُتَّقِيْ

Maksudnya :
Mengenal Tuhan tetapi membelakangiNya Bukankah itu celaka namanya
Segala bencana dalam mentaati Tuhan Takkan membahayakan jika dapat ditahan
Kaya di dunia bukanlah kemuliaan Kemuliaan Hakiki menTaqwakan Tuhan

         

4.    Berkata para ulamak : Taqwa itu ialah menuruti perintah Allah swt dan meninggalkan segala laranganNya zahir dan batin, dan merasakan bahawa kebesaran yang hakiki itu adalah bagi Allah swt serta merasakan kehebatan, ketakutan dan kegerunan terhadapNya.

5.    Syair arab ada menyebut :

مَنْ يَتَّقِ اللهَ فَذَاكَ الَّذِي      سِيْقَ إِلَيْهِ المَتْجَرُ الرَّابِحُ

Maksudnya : Siapa yang bertaqwa kepada Allah      Mendapat keuntungan berlimpah-ruah.

6.    Mereka yang mencapai maksud taqwa, akan sentiasa taat akan perintahNya, menjauhi laranganNya, sentiasa mengingatiNya, tidak sama sekali akan melupaiNya, sentiasa mensyukuri akan nikmatNya, tidak akan mengkufuriNya.

Selasa, 2 Julai 2013

Siri 1 : Ahlan Ya Ramadhan - Pensyariatan Ibadah Puasa


Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah : 183

Ertinya : Wahai orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan  ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa.


Pengajaran ayat :

1. Puasa dari segi bahasa bermaksud : menahan diri dari sesuatu sama ada kata-kata atau pun makanan.
Firman Allah s.w.t, Surah Maryam : 26:
 
"Sesungguhnya Aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah Aku menyatakan yang demikian) maka Aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".


2. Menurut istilah syarak, puasa bererti : Menahan diri yang dikhaskan pada sesuatu perkara yang tertentu (makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa), pada waktu yang tertentu (dari terbit fajar hingga terbenam matahari) pada orang-orang tertentu (muslim, baligh, berakal, bersih dari haid dan nifas, berdaya dan bermukim) pada hari-hari yang dibolehkan berpuasa dan dengan niat berpuasa.

3. Berkata Syeikh Mutawalli Sya’rawi rahimahullah dalam tafsirnya : Ayat ini Allah swt memulakan dengan perkataan “wahai orang-orang yang beriman”. Ini menunjukkan kewajipan ini ditujukan khusus untuk orang yang beriman. Dan orang yang beriman mengambil perintah Allah swt ini dengan kecintaan dan keimanan yang jitu walaupun di dalam menunaikannya terdapat kesukaran.

4. Ibadah puasa Ramadhan telah difardhukan pada tahun ke 2 Hijrah. Sebelum kefardhuan puasa Ramadhan, umat Islam diwajibkan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari Asyura’.

5. Puasa Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf. Menunaikan kewajipannya adalah salah satu dari cabang kesempurnaan Iman, dan meninggalkan kewajipannya adalah satu satu dari cabang kerosakkan iman.

6. Puasa ialah ibadah “ta’abbudi” yang telah difardhukan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya yang terdahulu daripada umat Muhammad saw dan juga ke atas umat Muhammad saw. Namun perlaksanaannya adalah berbeza.

7. Kewajipan puasa ramadhan ini bermula daripada kenampakkan hilal Ramadhan sehingga nampaknya hilal syawal.

8. Puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta berjimak, bermula daripada terbit fajar sodiq (mula masuk waktu subuh) sehingga terbenamnya matahari (mula masuk waktu maghrib).

9. Mengenai kelebihan bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah bersabda :

"رَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، وَالجُمْعَةُ إِلَى الجُمْعَةِ، وَالصَّلاَةُ إِلَى الصَّلاَةِ، مُكَفِّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتــُنِبَتِ الكَبَائِرُ"

Ertinya : Bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan, dan hari Jumaat ke hari Jumaat, dan satu sembahyang ke sembahyang yang lain menjadi penebus dosa diantara keduanya, selama dijauhi segala dosa-dosa besar”.

" Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak "