Khamis, 18 Julai 2013

Siri 2 - Puasa Bermatlamatkan Taqwa

Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah : 183

Ertinya : Wahai orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan  ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa.

1.    Dalam ayat 183 surah al-Baqarah, Allah swt menyebutkan secara jelas akan tujuan dan matlamat orang yang berpuasa iaitu "لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ" ertinya moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa. Taqwa itulah perisai yang paling ampuh dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Dalam sebuah hadith riwayat daripada Saidina Uthman bin Abi al-Asr r.a, Nabi saw bersabda  " اَلصِّيَامُ جُنَّةٌ..." ertinya : Puasa itu adalah perisai. Perisai dari melakukan maksiat dan perbuatan keji kerana takutkan Allah dan takut kepada siksaanNya. Tanpa sifat taqwa, manusia akan rosak dan cenderung untuk melakukan maksiat dan kejahatan.

2.    Saidina Ali bin Abi Tholib r.a menyatakan ciri-ciri taqwa itu ialah :                   
  
" الخَوفُ مِنَ الجَلِيْل ، وَالعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ، وَالرِّضَا بِالقَلِيْلِ، وَالاِسْتِعْدَادِ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ"
Ertinya : Takut kepada Allah swt Yang Maha Agung, beramal dengan apa yang diturunkan (al-Quran), redha dengan yang sedikit, dan bersedia untuk hari kematian.

3.    Dalam suatu madah syair arab ada menyebut :

مَن عَرَفَ اللهَ فَلَمْ تُغْنِهِ        مَعْرِفَةُ اللهِ فَذَاكَ الشَّقِيْ
مَا ضَرَّ ذَا الطَّاعَةِ مَانَالَهُ        فِي طَاعَةِ اللهِ وَمَاذَا لَقِيْ
مَا يَصْنَعُ العَبْدُ بِعِزِّ الغِنَى        وَالعِزُّ كُلُّ العِزِّ لِلمُتَّقِيْ

Maksudnya :
Mengenal Tuhan tetapi membelakangiNya Bukankah itu celaka namanya
Segala bencana dalam mentaati Tuhan Takkan membahayakan jika dapat ditahan
Kaya di dunia bukanlah kemuliaan Kemuliaan Hakiki menTaqwakan Tuhan

         

4.    Berkata para ulamak : Taqwa itu ialah menuruti perintah Allah swt dan meninggalkan segala laranganNya zahir dan batin, dan merasakan bahawa kebesaran yang hakiki itu adalah bagi Allah swt serta merasakan kehebatan, ketakutan dan kegerunan terhadapNya.

5.    Syair arab ada menyebut :

مَنْ يَتَّقِ اللهَ فَذَاكَ الَّذِي      سِيْقَ إِلَيْهِ المَتْجَرُ الرَّابِحُ

Maksudnya : Siapa yang bertaqwa kepada Allah      Mendapat keuntungan berlimpah-ruah.

6.    Mereka yang mencapai maksud taqwa, akan sentiasa taat akan perintahNya, menjauhi laranganNya, sentiasa mengingatiNya, tidak sama sekali akan melupaiNya, sentiasa mensyukuri akan nikmatNya, tidak akan mengkufuriNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan