Jumaat, 17 Ogos 2012

Salam Lebaran, Taqabballallahhu minna waminkum...

Berhari Raya Mengikut Sunnah

Eidulfitri merupakan hari kita bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan. Ia membawa makna kembali kepada fitrah. Fitrah maknanya bersih dan yang bersih itu adalah hati yang sudah dididik oleh tarbiah (pendidikan) Ramadhan. Maka dengan erti kata lain, tujuan kita berhari raya ialah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadhan dalam masa yang sama mengekalkan momentum tarbiah Ramadhan yang mana maqsad (tujuan) utamanya iaitu menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah S.W.T.

“ Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Eiduladha dan Eidulfitri. " (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Jelas di sini, bagi umat Islam bukan ia sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ianya juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah S.W.T sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Apa yang menyedihkan kita sekarang ialah segelintir daripada manusia melakukan banyak kesalahan dalam menyambut hari raya. Malah ramai yang tidak mengerti apa sebenarnya tujuan mereka merayakannya. Lebih teruk, kegembiraan yang sepaturnya diraikan dalam suasana ibadah bertukar menjadi menderhakai Allah s.w.t.
 
Amalan Eidulfitri Mengikut Sunnah
 
Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal suatu amalan yang disyariatkan. Takbir ini bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) pada malam hari raya pertama dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam mula berkhutbah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185)


Lafaz ucapan selamat

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalallahu minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”


Meneruskan qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadhan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam hari raya sahaja. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadhan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadhan.


Memakai pakaian yang indah
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang nipis, menampakkan susuk badan dan bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menjerumuskannya ke dalam kemungkaran. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, (untuk menarik perhatian) dia adalah (ibarat) penzina." (Hadis riwayat al-Nasaai)

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menarik perhatian lelaki hanyalah khusus untuk suaminya.


Mengerjakan Solat Sunat Eidulfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Eidulfitri adalah perlaksanaan solat sunat Eidulfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya (pertama) Eidulfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." ( Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, jika anda masuk ke masjid, wajarlah menunaikan solat dua rakaat tahiyyatul masjid. Merujuk kepada hadis di atas, Baginda S.A.W menunaikan solat hari raya di tanah lapang, bukan di masjid Baginda S.A.W.


Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." – (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Kiraan setahun adalah setelah mengambil kira 30 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kepada setiap amalan soleh akan digandakan sepuh pahala oleh Allah S.W.T. 30 hari Ramadhan ditambah 6 hari digandakan dengan sepuluh akan menghasilkan 360 hari iaitu julah hari untuk satu tahun.

Hadis ini menjadi penguat bahawa Syawal yang datang menjadi pelengkap kepada penyempurnaan Ramadhan yang sebelumya kita lakukan dalam usaha mencapai ketaqwaan kepada Allah S.W.T

Terdapat banyak lagi perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut hari raya ini seperti berjalan kaki ke masjid untuk bersolat raya, mandi di pagi raya, dan makan sebelum menunaikan solat raya.

Buat akhirnya dari Ustazah, semoga Syawal menjadi penerus kepada maqasid puasa dan ibadah-ibadah lain dalam Ramadhan. Maka kita seharunya menyambut hari raya dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsafan dan bertakwa kepada Allah S.W.T. Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut hari raya Eidulfitri menurut al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, hari raya yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya . 

Sabtu, 11 Ogos 2012

Kenangan Ramadhan 1433

kami sayang ustazah muah muah cup chappp...
Iftar Jamaie

Terima kasih kerana sudi iftar dengan Ustazah n Ustaz. Moga doa dan solat kita diterima Allah swt. Good luck untuk exam kamu semua, Semoga berjaya...

persiapan di tempat parking kete
sedang asyik brrbuka mee sup sedap gila
asik mendengar tazkirah slps solat tarawikh

Selasa, 7 Ogos 2012

Tazkirah 5 : Kegembiraan orang yang berpuasa


Pendahuluan :

Hadith Nabi SAW :
-من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه -
Ertinya : Barang siapa yang berpuasa (ramadhan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha dari pada Allah swt, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

-       Orang yang diterima puasanya ialah orang yang menunaikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha Allah swt (ikhlas). Ini merupakan pra syarat sesuatu amal ibadah.

-       Amal yang diterima akan melahirkan kegembiraan.

Kegembiraan orang yang berpuasa

Hadith riwayat Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW bersabda  :
-للصائم فرحتان : فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه-
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi)

Kegembiraan ketika berbuka

Berkata Imam al-Qurtubi : yang dimaksudkan kegembiraan ketika berbuka itu ialah disebabkan terputusnya kelaparan dan dahaga. Secara tabiatnya manusia yang sedang kelaparan dan dahaga akan terasa gembira apabila mendapat makanan atau minuman.

Ada pula yang menyatakan : kegembiraan ketika berbuka ialah disebabkan seseorang itu telah sempurna menunaikan kewajipan yang difardhukan Allah dan telah Berjaya mentaati perintah Allah.

Justeru, segerakan berbuka kerana itu juga merupakan sunnah yang menzahirkan ketaatan dan kegembiraan kita kepada perintah dan suruhan Allah swt. Nabi SAW bersabda : لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر – hadith riwayat Bukhari Muslim.  Imam al-Nawawi menyatakan, dari saidina Abu Hurairah r.a berkata, disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Melambatkan berbuka adalah makruh dan ianya menyamai perbuatan ahli kitab Yahudi dan Nasrani. – sohih Muslim

Kegembiraan ketika bertemu dengan Allah

Bertemu yang dimaksudkan ialah bertemu disyurga.

Allah swt mengkhususkan syurga bagi orang yang berpuasa yang bernama al-Rayyan. Hadith Nabi SAW :  أن في الجنة بابا يقال له الريان يدخل منه الصائمون يوم القيامة – riwayat Bukhari Muslim.

Firman Allah SWT dalam surah al-Haaqqah ayat 24 : ertinya : makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang kamu lakukan pada hari –hari yang lalu (di dunia). Imam al-Mujahid mentafsirkan ayat ini merujuk kepada amalan berpuasa.- kitab لطائف معارف

Kegembiraan kerana akan mendapat syafaat

Ibadah Puasa yang diterima akan menanti kita  di akhirat untuk memberi syafaat
Hadith Nabi SAW : الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة

Kegembiraan kerana ibadah tersebut mampu menjadi penebus / kaffarah dosa.

Hadith Nabi SAW : فتنة الرجل في أهله وماله وولده وجاره تكفرها الصلاة والصوم والصدقة – riwayat Bukhari dalam Mukhtasar.

Khamis, 2 Ogos 2012

Tazkirah 4 : JAGA PUASA KITA !!!




Hadith Nabi SAW :

" كم من صائم ليس من صيامه إلا الجوع والعطش"
ERTINYA : berapa ramai dikalangan orang yang berpuasa tetapi tidaklah dia berpuasa melainkan hanya mendapat lapar dan dahaga (tidak mendapat pahala puasa)

Ramai orang yang berpuasa, tetapi puasanya tidak diterima oleh Allah SWT. Justeru, kita perlulah memelihara ibadah kita agar ianya  benar-benar sempurna dan diterima oleh Allah SWT.

PUASA YANG DITERIMA ALLAH
Puasa bukan sekadar menahan makan dan minum serta nafsu syahwat. Tetapi puasa yang diterima oleh Allah SWT itu mestilah menjaga dan memelihara 6 perkara berikut : 

1.    Menjaga pandangan mata

Hadith Nabi SAW :  النظرة سهم مسموم من سهام ابليس ertinya : Pandangan (mata) itu merupakan anak panah yang beracun daripada panahan Iblis.

Justeru, untuk memastikan puasa kita diterima oleh Allah swt, kita turut diperintahkan menjaga pandangan mata kita dari melihat perkara yang maksiat dan yang tidak baik.

2.    Menjaga lidah dan percakapan

Hadith Nabi SAW : اذا اصبح صائم فلا يرفث ولا يجهل ertinya : apabila berpuasa seseorang itu, maka janganlah ia berkata perkara-perkara yang keji dan perkara-perkara yang tidak baik.

Kita hendaklah menjaga lidah dan percakapan daripada mengumpat, mengata, dan mengeji. Zaman moden ini, ramai yang berkata-kata melalui alam maya seperti FB, Twitter, Blog dan lain-lain. Maka, ianya termasuk dalam kategori yang perlu juga dijaga agar kata-kata yang kita coretkan tidak membawa kepada maksiat dan dosa serta menyakitkan hati orang lain.

3.    Menjaga telinga dan pendengaran

Setiap yang haram untuk dipertuturkan, maka secara umumnya perkara itu juga haram untuk kita dengar. Justeru jagalah pendengaran kita dari mendengar yang maksiat dan sebaliknya kita memperbanyakkan mendengar alunan ayat-ayat al-Quran, qasidah, nasyid atau pun ceramah-ceramah agama yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

4.    Menjaga anggota badan (tangan dan kaki dari perkara yang haram)

Tangan dan kaki hendaklah digunapakai untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Banyakkan memegang al-Quran, melangkah ke masjid dan surau. Elakkan dari pergi ke tempat-tempat hiburan dan tempat yang melalaikan.

5.    Tidak memenuhkan perut ketika berbuka dengan makanan 

Perbuatan tersebut seolah-olah melepaskan geram nafsu dan ianya dibenci oleh Allah. Sewajarnya perut itu dibahagi kepada 3 bahagian : 1/3 untuk udara, 1/3 untuk air, 1/3 untuk makanan.

Perut yang terpenuhi dengan makanan akan menyebabkan kita malas untuk beribadah. Berpada-padalah ketika makan

6.    Berbuka dengan mendatang sifat khauf dan raja’. 

Khauf itu ertinya takut. Raja’ itu ertinya pengharapan.

Ketika berbuka puasa, kita hendaklah memperbanyakkan doa (pengharapan) agar ibadah puasa kita diterima oleh Allah SWT. Orang yang beriman sentiasa bimbang dan takut sekiranya amal yang dilakukan tidak diterima oleh Allah SWT.

Pesan Ustazah : Buat anak-anak murid kesayangan, jagalah puasa anda semua agar ianya benar-benar dianggap sebagai ibadah. Walaupun ustazah sedih dan dukacita apabila  tahu ada anak-anak murid ustazah yang telah ponteng puasa, namun ingatlah, Allah itu maha menerima taubat. Kamu belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan. Kita masih ada beberapa hari lagi dalam bulan Ramadhan, bertaubat dan puasalah sungguh-sungguh, moga-moga kamu semua jadi anak-anak soleh permata Islam yang berharga suatu hari nanti...

Salam Ramadhan, Salam Nuzhul al-Quran, Salam Perjuangan, Salam Ibadah ...