Selasa, 7 Ogos 2012

Tazkirah 5 : Kegembiraan orang yang berpuasa


Pendahuluan :

Hadith Nabi SAW :
-من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه -
Ertinya : Barang siapa yang berpuasa (ramadhan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha dari pada Allah swt, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

-       Orang yang diterima puasanya ialah orang yang menunaikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha Allah swt (ikhlas). Ini merupakan pra syarat sesuatu amal ibadah.

-       Amal yang diterima akan melahirkan kegembiraan.

Kegembiraan orang yang berpuasa

Hadith riwayat Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW bersabda  :
-للصائم فرحتان : فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه-
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi)

Kegembiraan ketika berbuka

Berkata Imam al-Qurtubi : yang dimaksudkan kegembiraan ketika berbuka itu ialah disebabkan terputusnya kelaparan dan dahaga. Secara tabiatnya manusia yang sedang kelaparan dan dahaga akan terasa gembira apabila mendapat makanan atau minuman.

Ada pula yang menyatakan : kegembiraan ketika berbuka ialah disebabkan seseorang itu telah sempurna menunaikan kewajipan yang difardhukan Allah dan telah Berjaya mentaati perintah Allah.

Justeru, segerakan berbuka kerana itu juga merupakan sunnah yang menzahirkan ketaatan dan kegembiraan kita kepada perintah dan suruhan Allah swt. Nabi SAW bersabda : لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر – hadith riwayat Bukhari Muslim.  Imam al-Nawawi menyatakan, dari saidina Abu Hurairah r.a berkata, disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Melambatkan berbuka adalah makruh dan ianya menyamai perbuatan ahli kitab Yahudi dan Nasrani. – sohih Muslim

Kegembiraan ketika bertemu dengan Allah

Bertemu yang dimaksudkan ialah bertemu disyurga.

Allah swt mengkhususkan syurga bagi orang yang berpuasa yang bernama al-Rayyan. Hadith Nabi SAW :  أن في الجنة بابا يقال له الريان يدخل منه الصائمون يوم القيامة – riwayat Bukhari Muslim.

Firman Allah SWT dalam surah al-Haaqqah ayat 24 : ertinya : makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang kamu lakukan pada hari –hari yang lalu (di dunia). Imam al-Mujahid mentafsirkan ayat ini merujuk kepada amalan berpuasa.- kitab لطائف معارف

Kegembiraan kerana akan mendapat syafaat

Ibadah Puasa yang diterima akan menanti kita  di akhirat untuk memberi syafaat
Hadith Nabi SAW : الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة

Kegembiraan kerana ibadah tersebut mampu menjadi penebus / kaffarah dosa.

Hadith Nabi SAW : فتنة الرجل في أهله وماله وولده وجاره تكفرها الصلاة والصوم والصدقة – riwayat Bukhari dalam Mukhtasar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan