Hadith Nabi SAW :
"
كم من صائم ليس من صيامه إلا الجوع والعطش"
ERTINYA : berapa ramai dikalangan
orang yang berpuasa tetapi tidaklah dia berpuasa melainkan hanya mendapat lapar
dan dahaga (tidak mendapat pahala puasa)
Ramai orang yang berpuasa, tetapi puasanya tidak diterima
oleh Allah SWT. Justeru, kita perlulah memelihara ibadah kita agar ianya benar-benar sempurna dan diterima oleh Allah
SWT.
PUASA YANG
DITERIMA ALLAH
Puasa bukan sekadar menahan makan dan minum serta nafsu
syahwat. Tetapi puasa yang diterima oleh Allah SWT itu mestilah menjaga dan
memelihara 6 perkara berikut :
1. Menjaga pandangan mata
Hadith Nabi SAW : النظرة سهم مسموم من سهام
ابليس ertinya : Pandangan (mata) itu merupakan anak panah
yang beracun daripada panahan Iblis.
Justeru, untuk memastikan puasa kita
diterima oleh Allah swt, kita turut diperintahkan menjaga pandangan mata kita
dari melihat perkara yang maksiat dan yang tidak baik.
2. Menjaga lidah dan percakapan
Hadith Nabi SAW : اذا اصبح صائم فلا
يرفث ولا يجهل ertinya : apabila berpuasa seseorang
itu, maka janganlah ia berkata perkara-perkara yang keji dan perkara-perkara
yang tidak baik.
Kita hendaklah menjaga lidah dan
percakapan daripada mengumpat, mengata, dan mengeji. Zaman moden ini, ramai
yang berkata-kata melalui alam maya seperti FB, Twitter, Blog dan lain-lain.
Maka, ianya termasuk dalam kategori yang perlu juga dijaga agar kata-kata yang
kita coretkan tidak membawa kepada maksiat dan dosa serta menyakitkan hati
orang lain.
3. Menjaga telinga dan pendengaran
Setiap yang haram untuk dipertuturkan, maka secara
umumnya perkara itu juga haram untuk kita dengar. Justeru jagalah pendengaran
kita dari mendengar yang maksiat dan sebaliknya kita memperbanyakkan mendengar
alunan ayat-ayat al-Quran, qasidah, nasyid atau pun ceramah-ceramah agama yang
mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
4. Menjaga anggota badan (tangan
dan kaki dari perkara yang haram)
Tangan dan kaki hendaklah digunapakai untuk
perkara-perkara yang bermanfaat. Banyakkan memegang al-Quran, melangkah ke
masjid dan surau. Elakkan dari pergi ke tempat-tempat hiburan dan tempat yang
melalaikan.
5. Tidak memenuhkan perut ketika
berbuka dengan makanan
Perbuatan tersebut seolah-olah melepaskan geram nafsu
dan ianya dibenci oleh Allah. Sewajarnya perut itu dibahagi kepada 3 bahagian :
1/3 untuk udara, 1/3 untuk air, 1/3 untuk makanan.
Perut yang terpenuhi dengan makanan akan menyebabkan
kita malas untuk beribadah. Berpada-padalah ketika makan
6. Berbuka dengan mendatang sifat
khauf dan raja’.
Khauf itu ertinya takut. Raja’ itu ertinya
pengharapan.
Ketika berbuka puasa, kita hendaklah memperbanyakkan
doa (pengharapan) agar ibadah puasa kita diterima oleh Allah SWT. Orang yang
beriman sentiasa bimbang dan takut sekiranya amal yang dilakukan tidak diterima
oleh Allah SWT.
Pesan Ustazah : Buat anak-anak murid kesayangan, jagalah puasa anda semua agar ianya benar-benar dianggap sebagai ibadah. Walaupun ustazah sedih dan dukacita apabila tahu ada anak-anak murid ustazah yang telah ponteng puasa, namun ingatlah, Allah itu maha menerima taubat. Kamu belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan. Kita masih ada beberapa hari lagi dalam bulan Ramadhan, bertaubat dan puasalah sungguh-sungguh, moga-moga kamu semua jadi anak-anak soleh permata Islam yang berharga suatu hari nanti...
Salam Ramadhan, Salam Nuzhul al-Quran, Salam Perjuangan, Salam Ibadah ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan