Khamis, 8 November 2012

Cuti sekolah apa buat???

Selamat bercuti...
Hmmmm...
Cuti-cuti juga, tapi jangan lupa...

Sekarang ni musim CUTI SEKOLAH. Anak2 murid ustazah pasti gembira selepas penat belajar, tiba musim merehatkan minda. Kepada yang telah menduduki peperiksaan PMR, dah boleh berehat berlapang dada, mesti lebih bermakna meraikan cuti. Kepada mereka yang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pasti sedang bertungkus-lumus memerah keringat usaha, tak mengapa ustazah doakan kalian dapat melakukan yang terbaik.

Sesetengah ibu bapa kalian mungkin sudah atau sedang merancang untuk memanfaatkan cuti yang panjang. Ada yan nak pergi KLCC, nak pergi langkawi, nak pergi Cameron Higland, nak pergi I-city, nak pergi Genting Higland lah, dan macam-macam lagi tempat menarik, apa pun ustazah harap Semoga perancangan digarap terbaik untuk anak-anak. Sebab anak aset paling berharga untuk keluarga, agama dan negara. Tapi bagi mereka yang tak pergi bercuti kemana-mana, duduklah di rumah elok-elok dan tolonglah Ibu dan Ayah membuat kerja rumah apa yang patut.
Tapi...

Pada musim cuti sekolah ini, cuti cuti juga tetapi jangan sampai lupa sistem. Jika ketika bersekolah kita kena bangun awal sebab mahu ke sekolah. Dengan adanya sistem solat, walaupun musim cuti sekolah tetap kena bangun awal.
Ingat...

Janganlah mentang-mentang tidak bersekolah, solat Subuh menjadi Subuh gajah. Yang ini ibu bapa kena pastikan anak-anak bangun bersolat Subuh.

Begitu juga pelajar perempuan, kalian ke sekolah pakai tudung. Tutup aurat bukan kerana disiplin sekolah atau untuk kelihatan cantik menawan atau bersopan atau sebab orang lain memakainya, tetapi perlulah melakukan sedemikian disebabkan perintah Allah.

Begitu juga dengan waktu, jangan buang masa, sebab masa adalah kehidupan. Sebenarnya walaupun kita ada masa cuti dan berehat perlu diingat syaitan dan iblis serta konco-konconya tidak pernah berehat atau cuti. Makhluk ini tidak tidur malam, malah misinya tidak akan berhenti sehingga manusia tergoda dengan pujukannya.
Kena ingat...

Syaitan dari awal lagi mengisytiharkan perang dengan anak Adam untuk menyesatkannya selagi nyawa masih di badan.Cuti, cuti juga tetapi jangan sampai solat pun bercuti, tutup aurat cuti dan al-Quran pun cuti. Sebenarnya Allah memerintahkan kita mentaati-Nya supaya kita hidup bersistem dan Allah hendak menjanjikan syurga kepada kita.

Syaitan yang tidak pernah cuti itu akan terus menggoda kita supaya sama-sama menemaninya di neraka dan supaya kita hidup tidak berdisiplin.Apabila tidak mengikuti Islam kita tidak berdisiplin. Apabila tidak berdisiplin akan menjadi seperti Mat Rempit, bukan saja tidak berdisiplin di jalan raya, malah kadangkala mencabar undang-undang, menagih dadah dan apabila sudah tidak takut Tuhan, membujur lalu melintang patah.

Cuti-cuti juga, tapi...
 Ustazah memang tak tahu, ustazah pun tak boleh nampak, tapi Allah sentiasa tahu dan nampak apa yang dilakukan oleh anak-anak sekalian. beribadat jangan berhenti, taat jangan berkurang, kerja diteruskan, sebab di dunialah tempat kita mencari bekalan. anak-anak, Bercuti dan berehat sebenarnya adalah di syurga Allah yang abadi...

ok! Selamat bercuti! (^_^)

Dua hari yang SWEET...



 Jumaat / 2 November 2012
 Hari ulang tahun kelahiran & ulang tahun perkahwinan...

 Dari isteri mu yang mencintai,
 Semoga Allah merahmati Abang... 

   Syukur kepada Allah atas nikmat dan rahmat kepada kita...
..sanah helwah ya jamil habibi, kullu sanah anta bikhair..
semoga Allah merahmati dan melindungi dirimu selalu. syukurlah atas nikmat dan rahmat, semoga terus thabat menerukan perjuangan..
uhibbuka fillah, daiman ma'an..

Dari suami ku yang dicintai,
Salam sayang buat Isteri Tersayang... 

...terima kasih kek Birthday mlm tadi yg sweet, cute, cantik n sodappp....

Terima kasih, kad birthday yg istimewa yg diletakkan dalam beg n coklat pebret yg nyum nyum nyum besttt....

Terima kasih jadi Isteri Solehah dan sentiasa memahami tugas dan t.jwb abg serta memberikan komitmen yg sangat baik dalam membantu kerja2 dakwah... terima kasih kerana sentiasa menjadi teman setia suka dan duka, tangis dan gembira, susah dan senang, sakit dan sihat.. semualaaa...

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yg ke-4....

Miss U ya habibti... Uhibbuki Fil Lah... Kullu 'Am wa anti bi khair...

Meriahkan Zulhijjah dengan Ibadah...



 MERIAHKAN BULAN ZULHIJJAH...



  Apabila menjelang 1 zulhijjah, ramai umat Islam melakukan Ibadah Haji dan berazam melaksanakan Ibadat Korban. 
  Selain daripada ibadah Haji dan Kurban, terdapat banyak lagi Ibadat sunnat yang boleh dilakukan untuk memperolehi Pahala dan Rahmat Allah S.W.T. 
 Kerana ingin melahirkan rasa cinta kita kepada tuntutan Allah dan Sunnah RasulNya, marilah kita sama-sama melapangkan dada, menanamkan niat yang indah-indah supaya segala amalan baik itu menjadi saham buat kita di akhirat kelak.

 Antara Ibadat yang paling istimewa adalah :

1.Menghidupkan 10 hari yang pertama dalam bulan Zulhijjah. Dengan Solat dan Puasa (terutama puasa pada hari Arafah, iaitu 9 Zulhijjah).
2.Banyakkan  bersedekah .
3.Banyak berzikir, bertahlil, bertahmid
4.Banyakkan  membaca al-Qur’an dan menghayati maksudnya.



Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Tidak ada hari yang amal solehnya dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”     

 (Hadis riwayat Ahmad)

Jumaat, 17 Ogos 2012

Salam Lebaran, Taqabballallahhu minna waminkum...

Berhari Raya Mengikut Sunnah

Eidulfitri merupakan hari kita bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan. Ia membawa makna kembali kepada fitrah. Fitrah maknanya bersih dan yang bersih itu adalah hati yang sudah dididik oleh tarbiah (pendidikan) Ramadhan. Maka dengan erti kata lain, tujuan kita berhari raya ialah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadhan dalam masa yang sama mengekalkan momentum tarbiah Ramadhan yang mana maqsad (tujuan) utamanya iaitu menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah S.W.T.

“ Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Eiduladha dan Eidulfitri. " (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Jelas di sini, bagi umat Islam bukan ia sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ianya juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah S.W.T sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Apa yang menyedihkan kita sekarang ialah segelintir daripada manusia melakukan banyak kesalahan dalam menyambut hari raya. Malah ramai yang tidak mengerti apa sebenarnya tujuan mereka merayakannya. Lebih teruk, kegembiraan yang sepaturnya diraikan dalam suasana ibadah bertukar menjadi menderhakai Allah s.w.t.
 
Amalan Eidulfitri Mengikut Sunnah
 
Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal suatu amalan yang disyariatkan. Takbir ini bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) pada malam hari raya pertama dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam mula berkhutbah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185)


Lafaz ucapan selamat

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalallahu minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”


Meneruskan qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadhan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam hari raya sahaja. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadhan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadhan.


Memakai pakaian yang indah
Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang nipis, menampakkan susuk badan dan bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menjerumuskannya ke dalam kemungkaran. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, (untuk menarik perhatian) dia adalah (ibarat) penzina." (Hadis riwayat al-Nasaai)

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menarik perhatian lelaki hanyalah khusus untuk suaminya.


Mengerjakan Solat Sunat Eidulfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Eidulfitri adalah perlaksanaan solat sunat Eidulfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya (pertama) Eidulfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." ( Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, jika anda masuk ke masjid, wajarlah menunaikan solat dua rakaat tahiyyatul masjid. Merujuk kepada hadis di atas, Baginda S.A.W menunaikan solat hari raya di tanah lapang, bukan di masjid Baginda S.A.W.


Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." – (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Kiraan setahun adalah setelah mengambil kira 30 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kepada setiap amalan soleh akan digandakan sepuh pahala oleh Allah S.W.T. 30 hari Ramadhan ditambah 6 hari digandakan dengan sepuluh akan menghasilkan 360 hari iaitu julah hari untuk satu tahun.

Hadis ini menjadi penguat bahawa Syawal yang datang menjadi pelengkap kepada penyempurnaan Ramadhan yang sebelumya kita lakukan dalam usaha mencapai ketaqwaan kepada Allah S.W.T

Terdapat banyak lagi perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut hari raya ini seperti berjalan kaki ke masjid untuk bersolat raya, mandi di pagi raya, dan makan sebelum menunaikan solat raya.

Buat akhirnya dari Ustazah, semoga Syawal menjadi penerus kepada maqasid puasa dan ibadah-ibadah lain dalam Ramadhan. Maka kita seharunya menyambut hari raya dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsafan dan bertakwa kepada Allah S.W.T. Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut hari raya Eidulfitri menurut al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, hari raya yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya . 

Sabtu, 11 Ogos 2012

Kenangan Ramadhan 1433

kami sayang ustazah muah muah cup chappp...
Iftar Jamaie

Terima kasih kerana sudi iftar dengan Ustazah n Ustaz. Moga doa dan solat kita diterima Allah swt. Good luck untuk exam kamu semua, Semoga berjaya...

persiapan di tempat parking kete
sedang asyik brrbuka mee sup sedap gila
asik mendengar tazkirah slps solat tarawikh

Selasa, 7 Ogos 2012

Tazkirah 5 : Kegembiraan orang yang berpuasa


Pendahuluan :

Hadith Nabi SAW :
-من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه -
Ertinya : Barang siapa yang berpuasa (ramadhan) dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha dari pada Allah swt, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

-       Orang yang diterima puasanya ialah orang yang menunaikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan redha Allah swt (ikhlas). Ini merupakan pra syarat sesuatu amal ibadah.

-       Amal yang diterima akan melahirkan kegembiraan.

Kegembiraan orang yang berpuasa

Hadith riwayat Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW bersabda  :
-للصائم فرحتان : فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه-
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi)

Kegembiraan ketika berbuka

Berkata Imam al-Qurtubi : yang dimaksudkan kegembiraan ketika berbuka itu ialah disebabkan terputusnya kelaparan dan dahaga. Secara tabiatnya manusia yang sedang kelaparan dan dahaga akan terasa gembira apabila mendapat makanan atau minuman.

Ada pula yang menyatakan : kegembiraan ketika berbuka ialah disebabkan seseorang itu telah sempurna menunaikan kewajipan yang difardhukan Allah dan telah Berjaya mentaati perintah Allah.

Justeru, segerakan berbuka kerana itu juga merupakan sunnah yang menzahirkan ketaatan dan kegembiraan kita kepada perintah dan suruhan Allah swt. Nabi SAW bersabda : لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر – hadith riwayat Bukhari Muslim.  Imam al-Nawawi menyatakan, dari saidina Abu Hurairah r.a berkata, disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Melambatkan berbuka adalah makruh dan ianya menyamai perbuatan ahli kitab Yahudi dan Nasrani. – sohih Muslim

Kegembiraan ketika bertemu dengan Allah

Bertemu yang dimaksudkan ialah bertemu disyurga.

Allah swt mengkhususkan syurga bagi orang yang berpuasa yang bernama al-Rayyan. Hadith Nabi SAW :  أن في الجنة بابا يقال له الريان يدخل منه الصائمون يوم القيامة – riwayat Bukhari Muslim.

Firman Allah SWT dalam surah al-Haaqqah ayat 24 : ertinya : makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang kamu lakukan pada hari –hari yang lalu (di dunia). Imam al-Mujahid mentafsirkan ayat ini merujuk kepada amalan berpuasa.- kitab لطائف معارف

Kegembiraan kerana akan mendapat syafaat

Ibadah Puasa yang diterima akan menanti kita  di akhirat untuk memberi syafaat
Hadith Nabi SAW : الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة

Kegembiraan kerana ibadah tersebut mampu menjadi penebus / kaffarah dosa.

Hadith Nabi SAW : فتنة الرجل في أهله وماله وولده وجاره تكفرها الصلاة والصوم والصدقة – riwayat Bukhari dalam Mukhtasar.

Khamis, 2 Ogos 2012

Tazkirah 4 : JAGA PUASA KITA !!!




Hadith Nabi SAW :

" كم من صائم ليس من صيامه إلا الجوع والعطش"
ERTINYA : berapa ramai dikalangan orang yang berpuasa tetapi tidaklah dia berpuasa melainkan hanya mendapat lapar dan dahaga (tidak mendapat pahala puasa)

Ramai orang yang berpuasa, tetapi puasanya tidak diterima oleh Allah SWT. Justeru, kita perlulah memelihara ibadah kita agar ianya  benar-benar sempurna dan diterima oleh Allah SWT.

PUASA YANG DITERIMA ALLAH
Puasa bukan sekadar menahan makan dan minum serta nafsu syahwat. Tetapi puasa yang diterima oleh Allah SWT itu mestilah menjaga dan memelihara 6 perkara berikut : 

1.    Menjaga pandangan mata

Hadith Nabi SAW :  النظرة سهم مسموم من سهام ابليس ertinya : Pandangan (mata) itu merupakan anak panah yang beracun daripada panahan Iblis.

Justeru, untuk memastikan puasa kita diterima oleh Allah swt, kita turut diperintahkan menjaga pandangan mata kita dari melihat perkara yang maksiat dan yang tidak baik.

2.    Menjaga lidah dan percakapan

Hadith Nabi SAW : اذا اصبح صائم فلا يرفث ولا يجهل ertinya : apabila berpuasa seseorang itu, maka janganlah ia berkata perkara-perkara yang keji dan perkara-perkara yang tidak baik.

Kita hendaklah menjaga lidah dan percakapan daripada mengumpat, mengata, dan mengeji. Zaman moden ini, ramai yang berkata-kata melalui alam maya seperti FB, Twitter, Blog dan lain-lain. Maka, ianya termasuk dalam kategori yang perlu juga dijaga agar kata-kata yang kita coretkan tidak membawa kepada maksiat dan dosa serta menyakitkan hati orang lain.

3.    Menjaga telinga dan pendengaran

Setiap yang haram untuk dipertuturkan, maka secara umumnya perkara itu juga haram untuk kita dengar. Justeru jagalah pendengaran kita dari mendengar yang maksiat dan sebaliknya kita memperbanyakkan mendengar alunan ayat-ayat al-Quran, qasidah, nasyid atau pun ceramah-ceramah agama yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

4.    Menjaga anggota badan (tangan dan kaki dari perkara yang haram)

Tangan dan kaki hendaklah digunapakai untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Banyakkan memegang al-Quran, melangkah ke masjid dan surau. Elakkan dari pergi ke tempat-tempat hiburan dan tempat yang melalaikan.

5.    Tidak memenuhkan perut ketika berbuka dengan makanan 

Perbuatan tersebut seolah-olah melepaskan geram nafsu dan ianya dibenci oleh Allah. Sewajarnya perut itu dibahagi kepada 3 bahagian : 1/3 untuk udara, 1/3 untuk air, 1/3 untuk makanan.

Perut yang terpenuhi dengan makanan akan menyebabkan kita malas untuk beribadah. Berpada-padalah ketika makan

6.    Berbuka dengan mendatang sifat khauf dan raja’. 

Khauf itu ertinya takut. Raja’ itu ertinya pengharapan.

Ketika berbuka puasa, kita hendaklah memperbanyakkan doa (pengharapan) agar ibadah puasa kita diterima oleh Allah SWT. Orang yang beriman sentiasa bimbang dan takut sekiranya amal yang dilakukan tidak diterima oleh Allah SWT.

Pesan Ustazah : Buat anak-anak murid kesayangan, jagalah puasa anda semua agar ianya benar-benar dianggap sebagai ibadah. Walaupun ustazah sedih dan dukacita apabila  tahu ada anak-anak murid ustazah yang telah ponteng puasa, namun ingatlah, Allah itu maha menerima taubat. Kamu belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan. Kita masih ada beberapa hari lagi dalam bulan Ramadhan, bertaubat dan puasalah sungguh-sungguh, moga-moga kamu semua jadi anak-anak soleh permata Islam yang berharga suatu hari nanti...

Salam Ramadhan, Salam Nuzhul al-Quran, Salam Perjuangan, Salam Ibadah ... 

Jumaat, 27 Julai 2012

Tazkirah 3 (Jumaat) : Tahu & Amal



Hari Jumaat + Ramadhan + Selawat ke atas Baginda Nabi SAW = ?
 
1) Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata : 


"Barangsiapa yang bersalawat ke atasku 1kali salawat, maka Allah akan bersalawat ke atasnya 10kali salawat (menganugerahkan kepadanya dengan 10 kebaikan)." - Riwayat Imam Muslim رحمه الله.


2) Jumaat penghulu hari. Kebaikan yang dilakukan pada hari ini berganda. Ditambah jika bersalawat pada hari Jumaat, maka salawat & salam itu akan dijawab oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم secara langsung tanpa perantaraan malaikat.


3) Jumaat ini pula jatuh di dalam bulan Ramadhan, bulan mulia bulan berlipat ganda pahalanya, 

1 selawat = 10 kebaikan  = Ramadhan ( 1 Amalan Sunat = 1 Amalan Fardhu / 1 Amalan Fardhu = 70 Amalan Fardhu)  + + + lagi ganda pahala dan ganjarannya


Kesimpulannya :
 
Apabila sudah tahu, AMAL adalah tindakan yang paling bijak.



اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Walaupun tidak nampak nilaian pahalanya, tetapi pasti akan nampak kebaikan dan perubahan pada jiwa rohani dan amal jasmaninya nanti INSYAALLAH.

Rabu, 25 Julai 2012

Tazkirah 2 : Hikmah Disuruh Berpuasa Ramadhan

Sabda Nabi Saw :

"اَلصـِّيــــــَامُ الجُــــــنَّةُ"
Ertinya : Puasa Itu Ialah Perisai
 
Daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.


Antara Hikmah Berpuasa :

1- Allah SWT hendak mengangkat darjat kita kepada orang Mukmin yang Muttaqin (BERTAQWA) seperti firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 183. Manakala cirri-ciri orang berTAQWA itu pula seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali kwh :
  • Takut kepada Allah
  • Beramal dengan apa yang diturunkan / diperintahkan
  • Redha dengan yang sedikit (BERSYUKUR)
  • Bersedia untuk hari kematian dan kebangkitan

2- Untuk melahirkan Insan yang BERSYUKUR dengan nikmat kurniaan Allah. Manusia bila ditarik nikmat baru dia tahu bagaimana hendak menghargai nikmat. Dah sakit baru kita tahu nikmatnya sihat. Bila dalam kelaparan dan tiada makanan baru kita tahu hargai Rezeki. Justeru, puasa mengajar kita berSYUKUR. Jangan banyak membazir waktu berbuka puasa dengan banyaknya makanan. Membazir itu amalan Syaitan!

3-Untuk menahan dan mengawal hawa nafsu kita. Bila perut kelaparan, nafsunya akan terkawal dan berkurangan. Justeru kita boleh tumpu pada ibadah dan ketaatan serta akan kurang / meninggalkan maksiat.

4- Puasa mengajar kita menguatkan azam dan tekad. Kita belajar kesabaran, belajar menguatkan minda dan fikiran. Sebagai contoh : “Bila puasa kita niat, bila kita niat kita puasa, bila kita puasa kita tidak merokok, bila kita buka puasa kita merokok, walaupun rokok itu HARAM, tapi paling tidak kita sudah kurangkan hisap rokok dalam bulan Ramadhan”. Apa kata kalau yang merokok bertekad dan berazam terus berhenti merokok. Ambil keberkatan dan azam dalam bulan Ramadhan. Banyak lagi perkara lain yang tidak baik kita boleh tinggalkan dengan sebab mempelajari azam dan tekad serta semangat dari bulan Ramadhan. Apa yang penting, kesungguhan dan niat yang tulus suci dan Ikhlas.

5- Belajar membina akhlak yang terpuji. Bila puasa kita tidak mengumpat, tidak banyak membazir makan dan minum, dan banyak lagi perbuatan yang tidak baik kita tinggalkan. Bila puasa, selalunya kita tukar-tukar juadah berbuka dengan jiran, bila puasa kita jadi pemurah dan suka bersedekah, dan bila puasa kita akan cakap yang baik-baik sahaja serta banyak menahan sifat kemarahan. Maka ini semua merupakan hikmah yang membentuk peribadi dan akhlak terpuji dari bulan Ramadhan.


Pesan Ustazah : Semoga anak-anak murid kesayang semua dapat menghayati hikmah dan kelebihan daripada bulan Ramadhan. Ingat, Ramadhan datang hanya setahun sekali. Mungkin ini Ramadhan terakhir buat diri kita, siapa tahu? Jadi bersungguh-sungguhlah kita rebutkan peluang dan ruang yang Allah swt berikan ini untuk kita memperbaiki diri dan amal ibadah Moga-moga Allah swt memberi kita kerahmatan, keampunan dan hidayah taufiqNya pada kita semua. Akhirnya, dah berapa Juzuk al-Quran anak-anak murid kesayangan baca??? Jangan lupa baca al-Quran, kalau boleh dapatkan khatam sekali dalam bulan Ramadhan.


Salam IBADAH & Selamat BERPUASA!!!